suria

Kerajaan Belanja RM59.5 Juta Bagi Program Empower ECER

BESUT: Kerajaan membelanjakan lebih RM59.5 juta bagi menjayakan Program Empower Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) kepada peserta di 17 kawasan dalam wilayah berkenaan setakat ini.

Ketua Pegawai Eksekutif ECER, Datuk Jebasingam Issace John berkata, peruntukan itu melibatkan perbelanjaan dua program iaitu memberi latihan akademik kepada pelajar serta menyediakan latihan kemahiran dan keusahawanan kepada golongan dewasa.

Katanya, 17 kawasan itu membabitkan sembilan daerah di Pahang, Terengganu (empat), Kelantan (tiga) dan sebuah di Johor, melibatkan perbelanjaan kira-kira RM3.5 juta bagi setiap kawasan yang memberi manfaat kepada kira-kira 34,000 peserta.

"Pelaksanaan kedua-dua program di kesemua kawasan menunjukkan kejayaan memberangsangkan dengan bilangan pelajar miskin yang lemah dalam akademik semakin berkurangan," katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian Program Empower ECER Besut di Institut Pendidikan Guru Kampus Sultan Mizan, di sini, Ahad.

Jebasingam berkata, pihaknya sedang mengenal pasti lebih ramai pelajar dan golongan dewasa yang perlu dibantu dan mendapat faedah daripada pelaksanaan kedua-dua program berkenaan pada masa depan.

"Dalam bidang kemahiran dan keusahawanan juga menunjukkan penganggur, lepasan sekolah serta ibu bapa tunggal dapat berdikari dan mempunyai pendapatan sendiri yang memberangsangkan daripada kegiatan keusahawanan yang mereka lakukan dengan bantuan ECER," katanya.


Artikel Sebelum

Artikel Lain