suria

27 Sen Sesaham Atau Tiada Apa-Apa - Pakar Ekonomi

KUALA LUMPUR: Pemegang saham minoriti Malaysian Airline System Bhd (MAS) mungkin tidak akan memperoleh apa-apa jika mereka menolak tawaran 27 sen sesaham pada mesyuarat agung luar biasa (EGM) yang dijadual pada 6 November, kata pakar ekonomi.



Dr Yeah Kim Leng, Dekan Fakulti Perniagaan Universiti Sains dan Teknologi Malaysia memberi nasihat ini kepada pemegang saham tersebut.

"Lebih baik "menerimanya walaupun sukar" dan sekurang-kurangnya mendapat semula sebahagian daripada pelaburan itu," katanya.

Dana kekayaan negara, Khazanah Nasional Bhd pada 30 Ogos telah mengumumkan satu pelan yang radikal untuk memulihkan MAS yang memerlukan pengurangan pekerjaan, suntikan modal sehingga RM6 bilion dan penubuhan sebuah syarikat baharu (Newco) untuk menjalankan perniagaan syarikat penerbangan itu.

Selain itu, ia menawarkan 27 sen sesaham kepada pemegang saham minoriti dan selepas memperoleh kelulusan pemegang saham, MAS akan dinyahsenarai daripada Bursa Malaysia sebagai sebahagian daripada penstrukturan semula yang bertujuan mengembalikan keuntungan syarikat penerbangan negara itu dalam tempoh tiga tahun dinyahsenarai.

Kim Leng berkata, jika MAS menjadi entiti swasta sekarang, pemegang saham minoriti sedia ada akan kehilangan semua pelaburan mereka.

"Mereka akan memperoleh nilai sifar daripada pelaburan mereka. Mujurlah, Khazanah campur tangan sekurang-kurangnya jalan keluar itu dianggap munasabah dengan keadaan semasa di MAS.

"Justeru, tawaran 27 sen itu tidak perlu dilihat sebagai terlalu rendah kerana sekurang-kurangnya suntikan modal dan diambil alih oleh Khazanah, mereka akan mendapat semula sebahagian daripada pelaburan mereka," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata, memandangkan kepada hakikat bahawa tiada wira lain yang muncul dan mampu untuk menyelamatkan MAS, tiada asas yang kukuh bagi pemengang saham minoriti untuk menolak tawaran tersebut.

"Sudah tentu, mereka boleh tawar-menawar bagi nilai yang lebih tinggi tetapi berdasarkan masalah yang dihadapi oleh MAS, sukar untuk mempertikaikan untuk nilai yang lebih tinggi bagi saham mereka," katanya.

Bersetuju dengan pendapat Dr Yeah, bekas Menteri Pengangkutan Tan Sri Ong Tee Keat berkata pemengang saham minoriti sebenarnya tidak mempunyai pilihan kecuali menerima tawaran tersebut.

"Apabila syarikat dinyahsenarai, apa pilihan yang kita ada? Anda perlu menerimanya," katanya.

Ong berkata, kerajaan yang bertanggungjawab kepada pembayar cukai dalam apa keadaan sekali pun, menambah: "Anda tidak mampu untuk memuaskan hati pemegang saham minoriti dengan mengorbankan kepentingan pembayar cukai. Saya kira ini merupakan keseimbangan yang kerajaan perlu laksanakan".

Beliau berkata, jika MAS gagal dan tanpa bantuan daripada Khazanah, pemegang saham minoriti tidak akan mendapat apa-apa.

MAS dalam pekelilingnya bertarikh 15 Oktober 2014 menggesa pemegang saham minoritinya untuk menerima harga tawaran 27 sen oleh Khazanah untuk penswastaan syarikat penerbangan itu bagi memberi laluan kepada pelan pemulihannya.

Pelan pemulihan komprehensif MAS yang diumumkan oleh dana negara tersebut pada 29 Ogos adalah bergantung kepada penerimaan penswastaan MAS bernilai RM1.38 bilion.

Syarikat penerbangan negara, yang menanggung kerugian bagi tiga tahun kewangan yang lepas, menghadapi tekanan yang besar untuk meningkatkan prestasi kewangannya. Dan dua tragedi MH370 dan MH17 telah menjadikan proses pemulihan lebih sukar.

Berdasarkan persekitaran yang mencabar dalam sektor penerbangan, prestasi kewangan MAS dijangka terus lemah.

Dalam pekelilingnya kepada pemegang saham, yang akan mengadakan pertemuan pada 6 November, MAS memberi penekanan bahawa ia perlu melaksanakan penstrukturan semula yang komprehensif dengan segera untuk menangani keadaan perniagaan yang kurang baik, justeru syarikat penerbangan negara memerlukan pembiayaan untuk mengekalkan perniagaannya.

MAS dikatakan membelanjakan RM4 juta sehari untuk memastikan operasinya terus berjalan.

Jika MAS terus menanggung kerugian yang besar, ditambah dengan pengurangan simpanan tunai, tanpa sebarang bantuan kewangan mungkin akan terus memburukkan keadaan kewangannya dan membawa kepada Syarat-Syarat Penyenaraian PN17. 

 

MAS, saham, EGM

Artikel Berikut

Artikel Lain