suria

Perbaiki Sistem Pengurusan Kewangan Negara Menerusi Capam - MOF

KUALA LUMPUR: Kementerian Kewangan (MOF) menyertai Persidangan Pertubuhan Komanwel bagi Pentadbiran Awam dan Pengurusan (CAPAM)
dari 19 hingga 21 Oktober ini bagi menambah baik sistem pengurusan kewangan negara.


Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah berkata, Sistem Perakaunan Akruan dan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), yang akan dilaksanakan April tahun depan, merupakan antara perkara yang akan dibincangkan pada persidangan itu.

"Malaysia boleh belajar dari negara Komanwel lain seperti Australia dan Kanada dalam dua perkara penting itu yang akan dilaksanakan oleh Malaysia pada 2015.

"Kita juga boleh berkongsi resipi kejayaan Malaysia mengurangkan defisit fiskal tanpa menjejaskan pertumbuhan ekonomi negara," katanya kepada Bernama, baru-baru ini.

Persidangan dwitahunan CAPAM 2014, dengan Malaysia selaku tuan rumah buat kali kedua, akan berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) bertema 'Transformasi Perkhidmatan Awam: Suatu Bicara Baharu'.

Mohd Irwan berkata, beliau juga akan menyertai persidangan anjuran Perkhidmatan Awam Malaysia dengan kerjasama CAPAM dan Sekretariat Komanwel itu untuk menggalakkan transformasi dalam kementeriannya, selaras dengan kehendak kerajaan menerusi pelan Transformasi Perkhidmatan Awam.

Katanya, semua penjawat awam di negara ini perlu membuat transformasi minda untuk berada di hadapan dalam semua hal berbanding rakyat lain supaya mampu menjayakan agenda transformasi nasional.

Ini penting, khususnya dalam penyampaian maklumat yang tepat berkenaan dasar dan polisi kerajaan supaya fakta dan statistik yang dikeluarkan tidak dimanipulasikan oleh pihak-pihak tertentu, katanya.

"Terdapat 1.52 juta penjawat awam di negara ini, dan apabila mereka benar-benar faham, contohnya mengenai CBP, penjelasan kerajaan dapat disampaikan dengan lebih jelas.

"Bayangkan maklumat tepat itu disampaikan pula kepada anggota keluarga mereka. Jadi tiada ruang untuk mana-mana pihak cuba memutarbelitkan usaha kerajaan," katanya.

Mengenai transformasi dalam MOF, Mohd Irwan berkata, sejak dilantik sebagai Ketua Setiausaha Perbendaharaan pada 2012, beliau banyak melakukan perubahan untuk menyokong usaha itu, termasuk menyusun semula struktur di kementerian.

Katanya, memudahkan urusan orang ramai dengan kementerian, selain menjadikannya sebuah agensi yang lebih 'terbuka' merupakan antara perkara yang diutamakan.

"Secara berkala kita bermesyuarat dengan agensi dan jabatan biro pengaduan awam untuk meneliti aduan-aduan yang diterima mengenai kementerian dan agensi di bawahnya, supaya kita dapat belajar untuk memperbaiki kelemahan," tambahnya.

Antara agensi-agensi di bawah MOF ialah Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Bank Negara Malaysia (BNM) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia.


Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain