suria

Glomac Rancang Bangunkan Perbandaran Baharu Di Johor

FD Iskandar

KUALA LUMPUR: Pemaju hartanah Glomac Bhd merancang membangunkan perbandaran baharu dengan nilai pembangunan kasar RM750 juta di atas tanah yang baru sahaja diperolehnya di Kulaijaya, Johor pada Mac depan.

Pengarah/Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan Datuk Seri FD Iskandar FD Mansor berkata perbandaran itu terletak kira-kira dua kilometer dari Johor Premium Outlet.

"Untuk dua fasa pertama kami akan membangunkan perumahan mampu milik di atas tanah dengan konsep baharu.

"Kami sedang meneliti projek yang sudah dilaksanakan di Greater KL namun mungkin tidak di Johor untuk lingkungan harga sedemikian," katanya dalam taklimat media selepas mesyuarat agung tahunan syarikat, di sini, Khamis.

FD Iskandar berkata mereka kini dalam peringkat akhir untuk mendapatkan kelulusan bagi projek itu dan syarikat berharap akan memperoleh kelulusan tersebut menjelang hujung tahun ini.

Pada masa ini Glomac mempunyai simpanan tanah dengan potensi GDV RM8 bilion dan 85 peratus daripadanya akan diperoleh menerusi pembangunan perumahan di atas tanah dan perbandaran mampu milik.

Beliau berkata syarikat menyasarkan pelancaran baharu dengan GDV RM1 bilion tahun depan.

Menurutnya syarikat juga menjangka perolehan tidak berubah untuk tahun kewangan semasa yang berakhir pada 30 April 2015 disebabkan keputusan strategik untuk menangguhkan pelancaran-pelancaran utama.

"Glomac tidak membuat pelancaran baharu dalam tempoh enam bulan pertama dan hanya menjual inventori sedia ada kerana kami mahu melihat reaksi pasaran (disebabkan kelembapan pembelian dalam industri)," katanya.

FD Iskandar berkata sebab utama ialah pembeli sukar memperoleh pinjaman perumahan.

"Bajet 2015 bagaimanapun akan mempertingkat keupayaan pembeli rumah pertama yang membeli rumah pada harga bawah RM500,000," katanya.

Beliau turut berharap institusi kewangan akan memainkan peranan dan membantu pembeli rumah pertama memiliki hartanah berharga bawah RM500,000.


Glomac, Kulaijaya

Artikel Lain