Pemegang Saham Minoriti Tentukan Halatuju MAS 6 November Ini

Diterbitkan: Khamis, 16 Oktober 2014 3:39 PM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Selepas melabur sehingga RM17.4 bilion sejak 2001 ke atas Sistem Penerbangan Malaysia (MAS) tanpa membawa sebarang pulangan yang diinginkan, kerajaan akhirnya menyerah kepada para pemegang saham pada mesyuarat agung luar biasa 6 November ini, untuk menentukan sama ada syarikat itu perlu menarik diri dari papan utama bursa dan menjadi sebuah entiti sendirian berhad sekaligus menerima tawaran pelan pemulihan oleh Khazanah.

Lembaga pengarah dan penasihat bebas MAS, AmInvestment Bank telah mengesyorkan kepada para pemegang saham minoriti agar menerima tawaran Khazanah mengambil alih keseluruhan saham syarikat penerbangan negara itu dan membawanya keluar sebagai satu entiti sendirian berhad dalam usaha untuk memulih dan melakukan transformasi yang berkesan.

Khazanah telah mengemukakan cadangan untuk membawa MAS keluar dari bursa dengan tawaran 27sen sesaham atau keseluruhannya RM1.4 bilion kepada para pemegang saham minoriti.

Khazanah menguasai 69.37 peratus ekuiti dalam MAS manakala 29 pemegang syer terbesar yang lain hanya menguasai 6.57 peratus daripada keseluruhan 16.7 bilion syer MAS.

Ini bermakna, 24 peratus atau empat bilion syer adalah di dalam tangan pemegang-pemegang saham minoriti.

Khazanah memerlukan sokongan 90 peratus pemegang saham untuk membolehkannya membawa syarikat ini keluar sebagai entiti sendirian berhad.

Pada 30 Ogos lalu, syarikat pelaburan kerajaan itu telah mengumumkan satu langkah yang radikal sebagai rancangan pemulihan MAS selepas empat percubaan mereka sejak 2001 untuk mengembalikan keuntungan MAS gagal.

Tragedi yang tidak disangka-sangka yang menimpa dua buah pesawat MAS, MH370 dan MH17 menambah burukkan lagi keadaan yang sudah sediakala tenat.

Dari tahun 2001 hingga kini, MAS telah mengalami kerugian sebanyak RM8.4 bilion.

Cabaran utama yang perlu ditangani oleh MAS ialah, jumlah yang mereka belanjakan sekarang untuk operasi melebihi jumlah pendapatan.

Untuk membolehkan masalah ini diatasi, Khazanah bercadang menyuntik RM6 bilion ke dalam kantung MAS tetapi pada masa yang sama terpaksa memotong sehingga 6,000 pekerjaan dan memindahkan MAS kepada sebuah syarikat baru yang mengikut jadualnya akan mula beroperasi menjelang 1 Julai tahun depan.

Mengikut pelan pemulihan tersebut, daripada jumlah RM6 bilion wang suntikan itu, RM3 bilion akan diasingkan untuk syarikat lama MAS melakukan pembayaran kepada para pemegang saham minoriti berjumlah RM1.4 bilion sebagai langkah mengambilalih saki baki saham yang ada di tangan pemegang saham minoriti sekarang.

Bakinya akan digunakan untuk melangsaikan lain-lain pampasan termasuk ke atas para pekerja yang akan diberhentikan nanti.

Andai kata MAS gagal memperolehi kebenaran yang diperlukan untuk melakukan eksesais pemulihan ini maka MAS tidak mempunyai pilihan melainkan terus kekal di bursa sebagai syarikat awam dan ini juga bermakna, tidak akan berlaku suntikan dana sebanyak RM6 bilion itu daripada Khazanah.

Risikonya ialah, jika ini berlaku, MAS akan terus mengalami kerugian dan tanpa suntikan dana baru, rezab tunainya yang berjumlah RM2.4 bilion sekarang akan habis dalam tempoh 12 bulan dan akibatnya ia akan diisytiharkan sebagai syarikat PN17 (syarikat yang bermasalah di bursa).

Mengambil kira kesemua senario ini, AmInvestment Bank iaitu penasihat bebas MAS menyifatkan apa yang ditawarkan oleh Khazanah menerusi pelan pemulihannya adalah berasas.

Nilai semasa meletakkan saham MAS pada paras 14.4 sen sehingga 20.6 sen sesaham. Oleh itu, tawaran sebanyak 27sen oleh Khazanah bukan sahaja munasabah malah melebihi nilai semasa.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan