suria

Industri Binaan Dan JKR Disaran Guna Standard Ukur Bahan MyCESMM

KUCHING: Menteri Kerja Raya Datuk Fadillah Yusof pada Khamis menggesa industri pembinaan dan semua pejabat Jabatan Kerja Raya (JKR) menggunapakai kaedah pengukuran standard iaitu "Malaysian Civil Engineering Standard Method of Measurement (MyCESMM)" untuk mengurangkan pertikaian dan meningkatkan produktiviti serta keberkesanan kos projek.

MyCESMM yang dibangunkan oleh Lembaga Pembangunaan Industri Pembinaan (CIDB) Malaysia pada tahun 2011 mampu menjadi amalan terbaik dan mengurangkan kekeliruan sambil meningkatkan professionalisme semua pihak dalam industri pembinaan, kata beliau semasa merasmikan Seminar MyCESMM untuk penggiat industri di Sarawak di sini.

"Di dalam perlaksanaan projek pembinaan dan pembangunan yang kian rancak, kita perlu memastikan projek dilaksanakan dengan cepat, tepat dan berpandukan standard-standard yang telah ditetapkan," tambah Datuk Fadillah.

Semua penggiat industri, terutamanya perunding kejuruteraan dan juruukur bahan digalakkan mengguna standard MyCESMM untuk penyediaan "Bill of Quantities" dalam projek-projek kerajaan dan swasta.

Datuk Fadillah berkata peningkatan profesionalisme industri pembinaan amat kritikal dalam usaha Malaysia mencapai status negara maju menjelang 2020 kerana industri tersebut adalah antara penyumbang terbesar dalam perkembangan ekonomi serta pembangunan negara.

MyCESMM juga mempunyai peranan strategik dalam menggalakkan sistem perolehan yang adil dan efektif di mana kesemua skop kerja diterangkan dengan jelas dan seragam dan membolehkan setiap kontraktor yang memasuki tender projek mendapat maklumat dan pemahaman yang sama mengenai kerja-kerja yang perlu dilakukan.

Datuk Fadillah berkata ini sekaligus mengurangkan atau melenyapkan ketidakpastian di dalam penyediaan harga tender dan kontraktor yang layak dapat dipilih dengan cara yang lebih objektif dan telus.

Industri pembinaan mendahului sektor lain pada tahun 2013 dengan pertumbuhan10.9% dan dijangka berupaya mengekalkan kadar pertumbuhan dua digit tahun ini dengan pencapaian pertumbuhan sebanyak 14.3% dalam tempoh enam bulan pertama.

Datuk Fadillah berkata setakat Ogos tahun ini, jumlah nilai projek pembinaan yang dilaporkan kepada CIDB adalah RM59 billion dan RM2.6 billion adalah projek-projek pembinaan di Sarawak dengan 50 peratus melibatkan pembinaan infrastruktur, hasil usaha Kementerian Kerja Raya untuk meningkatkan kemudahan fizikal Sarawak selaras dengan negeri-negeri di Semenanjung Malaysia.

Satu memorandum persefahaman (MOU) mengenai penggunaan MyCESMM turut ditandatangani pada majlis pembukaan seminar itu, antara CIDB dengan JKR Sarawak, Jabatan Perkhidmatan Pembetungan, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Lembaga Juruukur Bahan Malaysia (LJBM), Institut Juruukur Diraja Malaysia (RISM), Malaysia, Institut Jurutera Malaysia (IEM) dan Indah Water Konsortium Sdn Bhd.

Seminar tersebut dianjurkan oleh CIDB untuk menerangkan keberkesanan MyCESMM dalam penyampaian projek kepada penggiat industri di Sarawak. Rekod CIDB menunjukkan 1,067 projek kejuruteraan awam bernilai RM20.16 billion diluluskan untuk Sarawak dalam tempoh 2010 hingga Jun 2014.

Sebelum ini, CIDB menjalankan inisiatif yang sama di Sabah dan memeterai MOU dengan JKR Sabah, Jabatan Perparitan dan Saliran (JPS), Pengurusan Aset Air Berhad dan Persatuan Jurutera Perunding Malaysia (ACEM).

Sejak pelancarannya, MyCESMM digunakan dalam projek seperti meninggikan empangan Timah Tasoh Fasa Dua, Perlis bernilai RM250 juta, rangkaian paip pembetungan Petaling Jaya Utara, Selangor bernilai RM277 juta dan penambahan kapasiti loji rawatan air Telibong di Tamparuli, Sabah bermilai RM250 juta.

Turut hadir pada majlis perasmian seminar itu ialah Pengerusi CIDB Malaysia Tan Sri Dr. Ahmad Tajuddin Ali, Ketua Eksekutif CIDB Malaysia Dato' Sri Ir Dr Judin Abdul Karim, Ketua Pengarah LLM Dato' Ir Haji Ismail Md Salleh, Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Pembetungan Datuk Haji Mohd Akhir Md Jiwa, Pengarah JKR Sarawak Ir Haji Zuraimi Sabki, Ketua Eksekutif Indah Water Konsortium Sdn Bhd Datuk Ir Abdul Kadir Mohd Din, Presiden IEM Dato' Ir Lim Chow Hock, Presiden LJBM Dato' Sr Abd. Manaf Hashim dan Presiden RISM Sr Hasan Jamil.

Mengenai CIDB Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) ditubuhkan menerusi Akta Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan 1994 (Akta 520) bagi membina kapasiti dan kapabiliti industri pembinaan melalui peningkatan kualiti dan produktiviti dengan memberi penekanan kepada professionalisme, inovasi dan pengetahuan ke arah kehidupan yang berkualiti.

JKR, CIDB

Artikel Berikut

Pendaftaran CBP Meningkat

Artikel Lain