suria

Fama: Pihak Gagal Patuhi GPL Bakal Ke Mahkamah

TASEK GELUGOR: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) bercadang untuk mengambil tindakan mahkamah terhadap pihak yang gagal mematuhi Peraturan Gred, Pembungkusan dan Label (GPL).


Pengarah Bahagian Penguatkuasaan Fam, Mohd Nawawi Harun berkata, tindakan keras perlu dikenakan terhadap mereka masih berdegil dan tidak mengikut peraturan GPL.

"Fama bercadang untuk membawa mereka yang tidak mematuhi GPL ke mahkamah. Pada masa ini, mereka yang tidak patuhi peraturan hanya diberi peringatan, surat amaran dan rampasan sayuran dan buah-buahan dilakukan," katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Pematuhan GPL peringkat Pulau Pinang di sini, Ahad.

Majlis dirasmikan Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Dua Muhammad Yusoff Mohd Noor.

Menurut Mohd Nawawi, sehingga Oktober 2013, sebanyak 669 surat amaran telah dikeluarkan kepada pengeksport, pengimport, pemborong serta peruncit sayuran serta buah-buahan kerana gagal mematuhi peraturan GPL.

Mohd Nawawi berkata, lebih 50 surat amaran telah dikeluarkan kepada pasar raya, pemborong, peniaga pasar dan peruncit di Pulau Pinang kerana gagal mematuhi peraturan GPL.

"Tinjauan menunjukkan mereka yang tidak patuhi GPL, hasil pertanian mereka akan alami kerosakan tinggi iaitu sebanyak 30 peratus. GPL dapat kurangkan kerosakan dan menurunkan kos peniaga," katanya.

Selain itu, Mohd Nawawi berkata GPL menjamin kualiti hasil yang dipasarkan, mengelak penipuan, memastikan hasil pertanian selamat digunakan, mengurangkan kerugian dan pembaziran, tidak merosakan kualiti produk dan peniaga boleh mendapat keuntungan yang tinggi.

Beliau berkata, Fama akan meneruskan kempen dan program pematuhan GPL supaya penglibatan lebih hebat bukan sahaja daripada pasar raya tetapi peniaga pasar, peruncit serta golongan petani.

Peraturan GPL yang dikuatkuasakan pada 1 Julai tahun lepas merupakan peraturan yang memastikan penjualan keluaran pertanian secara borong dan runcit digred, dibungkus dan dilabel sebelum dipasarkan ke pasaran tempatan, dieksport atau diimport.


Fama, GPL, Mohd Nawawi Harun

Artikel Lain