suria

Jualan Sektor Pembuatan Meningkat Lima Peratus Pada Ogos

KUALA LUMPUR: Nilai jualan sektor pembuatan pada Ogos 2014 meningkat 5.0 peratus (RM2.7 bilion) kepada RM55.8 bilion berbanding RM53.1 bilion yang dilaporkan setahun lepas, demikian menurut Jabatan Perangkaan.

Dalam satu kenyataan pada Jumaat, jabatan itu menyebut mengikut asas bulan ke bulan, nilai jualan meningkat 1.7 peratus atau RM1.0 bilion berbanding bulan sebelumnya.

Jumlah pekerja yang terlibat dalam sektor itu pada Ogos 2014 meningkat 0.2 peratus kepada 1.03 juta berbanding Julai.

Pada asas tahun ke tahun, angka itu meningkat 1.7 peratus atau 17,018 orang berbanding 1.01 juta orang yang direkodkan pada Ogos 2013.

Menurut jabatan itu, gaji dan upah yang dibayar pada Ogos 2014 bagaimanapun susut sebanyak 0.7 peratus kepada RM2.85 bilion berbanding bulan sebelumnya manakala jumlah yang dibayar meningkat kepada 7.3 peratus (RM194.2 juta) tahun ke tahun berbanding 7.2 peratus yang direkodkan tahun lepas.

Berdasarkan bulan ke bulan, purata gaji dan upah seorang pekerja merekodkan penurunan 0.9 peratus pada Ogos 2014 kepada RM2,760 dan meningkat 5.5 peratus berbanding bulan yang sama pada 2013.

Bagi tempoh Januari-Ogos 2014, nilai jualan sektor pembuatan meningkat 7.3 peratus kepada RM435.3 bilion manakala bilangan pekerja dalam tempoh itu meningkat 1.7 peratus kepada 1.03 juta orang.

Artikel Berikut

Artikel Lain