suria

Laporan: Langkah Berterusan Ringankan Beban Rakyat

KUALA LUMPUR: Kerajaan mengambil langkah berterusan bagi meringankan beban rakyat terutama golongan berpendapatan rendah yang pendapatan isi rumah di bawah RM3,000 sebulan, dalam menangani kos sara hidup yang meningkat.


Menurut Laporan Ekonomi 2014/2015 yang dikeluarkan Kementerian Kewangan, golongan berkenaan merupakan mereka yang paling teruk terkesan dengan kenaikan kos sara hidup, disebabkan kenaikan pendapatan mereka tidak sejajar dengan kadar kenaikan harga barang dan perkhidmatan.

Berdasarkan Laporan Penyiasatan Perbelanjaan Isi Rumah (HES) yang dijalankan setiap lima tahun oleh Jabatan Perangkaan Malaysia, perbelanjaan bulanan isi rumah meningkat 88.6 peratus daripada RM 1,161 kepada RM2,190 bagi tempoh 1993/1994 hingga 2009/2010.

Peningkatan ketara ialah bagi perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain (102 peratus); pengangkutan (94.6 peratus); restoran dan hotel (64.8 peratus); makanan dan minuman bukan alkohol (60.9 peratus).

Menurut laporan itu, HES dijalankan setiap lima tahun dan kajian seterusnya sedang dijalankan pada tahun ini. Dijangkakan bagi 2014, akan berlaku peningkatan lagi dalam purata bulanan perbelanjaan isi rumah mengikut trend sejak 15 tahun lalu.

Oleh yang demikian, laporan itu menyebut beberapa langkah bagi mengurangkan beban orang ramai yang telah dilaksanakan kerajaan, termasuk pengenalan skim rumah mampu milik, pengagihan bantuan wang tunai secara bersasar dan pembekalan secara langsung barang dan perkhidmatan.

Bagaimanapun, harga makanan dan bahan api masih tertakluk kepada faktor seperti cuaca, peningkatan permintaan dan gangguan bekalan yang di luar kawalan kerajaan.

Jelas laporan itu, kerajaan juga akan terus menyediakan pelbagai bantuan dan insentif, terutama kepada yang kurang bernasib baik, kurang upaya, ibu tunggal serta warga tua.

Langkah itu diambil bagi memastikan barang dan perkhidmatan, termasuk keperluan asas disediakan untuk rakyat pada kos yang berpatutan.

"Dalam hal ini, penyediaan rumah yang berkualiti dan mampu milik untuk kumpulan berpendapatan rendah dan sederhana akan terus diberi keutamaan. Selain itu, kerajaan akan terus menyediakan bantuan wang tunai seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), bantuan persekolahan dan kebajikan lain," kata laporan itu.

Selain itu, dalam usaha untuk mencapai agihan pendapatan yang saksama, laporan itu menyebut bahawa kerajaan terus melaksanakan pendekatan ekonomi inklusif dengan menyediakan akses dan peluang yang sama kepada rakyat untuk mengambil bahagian dalam pembangunan ekonomi.

"Bagaimanapun, usaha perlu ditingkatkan untuk mengurangkan jurang pembangunan wilayah dan perbezaan bandar serta luar bandar untuk merapatkan jurang pendapatan dalam negara," menurut laporan berkenaan.

Dalam meningkatkan kesejahteraan warga emas, sebanyak 23 Pusat Aktiviti Warga Emas (Pawe) yang menyediakan program jangkauan dan pembangunan untuk golongan itu akan ditubuhkan di seluruh negara.

Menurut laporan tersebut, sehingga akhir Julai ini, terdapat 45 pusat di seluruh negara yang menyediakan pelbagai aktiviti dan program termasuk aktiviti keagamaan dan rekreasi, terapi dan pemulihan, pemeriksaan perubatan serta latihan dan seminar berkaitan.

"Sehingga Ogos 2014, sejumlah RM670,000 diagihkan untuk pembinaan pusat baharu," kata laporan itu.

Bagi golongan Orang Kurang Upaya (OKU) pula, kerajaan memperuntukkan sejumlah RM441 juta bagi pembangunan dan kebajikan golongan itu.

Dalam memperkasa Bumiputera, kerajaan telah melaksanakan pelbagai program untuk mengukuhkan lagi penyertaan mereka dalam pembangunan ekonomi sejajar dengan Agenda Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera, termasuk bidang pendidikan, pemilikan ekuiti dan keusahawanan.

Mengenai penyeragaman harga barang keperluan asas yang dikawal di seluruh negara terutama di luar bandar dan pedalaman, kerajaan sedang melaksanakan beberapa langkah termasuk subsidi pengangkutan, program '1Malaysia 1Harga' dan inisiatif Kedai Rakyat 1Malaysia Bergerak (Mobile KR1M).

"Sehingga Ogos 2014, sebanyak 14 KR1M baharu telah dibuka kebanyakannya di Sabah dan Sarawak, manakala 22 KR1M masih dalam pembinaan dan lima KR1M tambahan dirancang untuk dibina," kata laporan itu.

rakyat, Laporan Ekonomi, OKU, warga emas

Artikel Lain