suria

Laporan: Pelbagai Langkah Diambil Bagi Memperkukuh Keselamatan

KUALA LUMPUR: Menyediakan persekitaran selamat untuk rakyat dan komuniti perniagaan terus diberi tumpuan dengan langkah kerajaan melantik lebih banyak anggota pertahanan, membina infrastruktur baharu serta perolehan peralatan dan aset terkini.


Menurut Laporan Ekonomi 2014/2015 yang dikeluarkan Kementerian Kewangan hari ini, antara langkah yang diambil untuk meningkatkan tahap keselamatan ialah pemasangan 496 kamera litar tertutup (CCTV) di 25 kawasan pihak berkuasa tempatan, termasuk di Sabah dan Sarawak menjelang November.

Polis Diraja Malaysia juga telah membeli 1,800 unit motosikal berkuasa tinggi bagi Unit Ronda Bermotosikal Polis bernilai RM34 juta untuk diedarkan ke seluruh negara.

"Sejumlah 200 unit motosikal tambahan akan diedarkan sebelum akhir 2014," kata laporan itu yang dikeluarkan seiring pembentangan Bajet 2015 oleh Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan Datuk Seri Najib Tun Razak di Dewan Rakyat.

Peruntukan juga disediakan untuk membina lima ibu pejabat daerah polis iaitu di Pasir Mas, Kota Setar, Johor Baharu Selatan, Nusajaya dan Sipitang serta pembinaan balai polis baharu di Pengerang, Johor dan Tongod, Sabah.

Laporan itu turut menyebut bahawa Angkatan Tentera Malaysia kini dalam proses memiliki peralatan pertahanan tambahan termasuk kapal peronda luar pesisir, pesawat dan kereta perisai untuk mengukuhkan keselamatan negara.

Bagi memperketat kawalan di sempadan, laporan itu berkata Eastern Sabah Security Command (Esscom), yang ditubuhkan pada 2013 susulan serangan pengganas di Lahad Datu, telah diperkukuh dengan penambahan kehadiran anggota keselamatan, membekal peralatan dan pembinaan balai polis baharu.

"Esscom akan diperkukuh dengan penambahan anggota dalam pelbagai peringkat termasuk melalui penubuhan Briged Infantri Tentera Darat," menurut laporan itu.

Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia yang mengawasi zon maritim negara dan laut dalam, pula akan dilengkapi dengan kapal, kapal terbang dan peralatan sokongan terkini.

"Langkah ini akan meningkatkan keyakinan rakyat, komuniti peniaga dan pelancong justeru membolehkan ekonomi terus berkembang," kata laporan itu.


Laporan Ekonomi, keselamatan, Esscom

Artikel Sebelum

Acer Lancar Notebook Baharu

Artikel Lain