suria

Laporan: Kesan Inflasi Selepas Pelaksanaan GST Dijangka Sementara

KUALA LUMPUR: Kesan inflasi yang lebih tinggi kepada penggunaan selepas pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) tahun depan dijangka bersifat sementara, dan akan berkurangan selepas beberapa bulan cukai itu dilaksanakan.


Menurut Laporan Ekonomi 2014-2015 yang dikeluarkan Kementerian Kewangan, inflasi dijangka meningkat antara empat hingga lima peratus tahun depan, terutama disebabkan oleh pelaksanaan GST dan kesan limpahan pengurangan subsidi minyak yang berkuat kuasa Oktober 2014.

GST akan memberi impak sementara kepada kos barang dan perkhidmatan. Bagaimanapun, pengembangan kapasiti yang kukuh sejak beberapa tahun lalu akan membantu mengurangkan tekanan kos.

"Sentimen pengguna yang lebih berhati-hati akan menyumbang kepada penyederhanaan permintaan dan mengelakkan peningkatan inflasi yang lebih ketara," kata laporan itu yang dikeluarkan Jumaat.

Selain itu, pendapatan eksport yang lebih tinggi juga dijangka meningkatkan pemerolehan perniagaan dan pendapatan isi rumah, seterusnya mengurangkan kesan peningkatan inflasi kepada permintaan domestik.

Pelaksanaan GST yang bermula pada 1 April 2015 pada kadar enam peratus, akan menggantikan cukai jualan dan cukai perkhidmatan sekarang yang berkadar keseluruhan 16 peratus.

Mulai 2 Oktober, subsidi petrol RON95 dan diesel dikurangkan sebanyak 20 sen seliter menjadikan harga runcit baharu bagi petrol RON95 ialah RM2.30 seliter dan diesel RM2.20 seliter.

Selain itu, laporan sama juga menyebut bahawa kesan terhadap perbelanjaan pengguna dapat diimbangi oleh bantuan tunai tambahan sebanyak RM300 kepada penerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dan bantuan tunai lain untuk golongan sasaran bagi membantu mereka menghadapi kenaikan kos sara hidup.

BR1M mula diperkenal pada 2012, yang memberi manfaat kepada golongan berpendapatan rendah, dengan bantuan tunai sebanyak RM500 kepada ketua isi rumah berpendapatan RM3,000 dan ke bawah.

Pada tahun ini, BR1M 3.0 telah dilaksanakan dan diperluas kepada isi rumah yang berpendapatan bulanan antara RM3,000 hingga RM4,000 dengan nilai bantuan sebanyak RM450 dan isi rumah berpendapatan bulanan RM3,000 ke bawah menerima bantuan sebanyak RM650, sementara individu bujang yang berpendapatan tidak lebih RM2,000 sebulan, menerima bantuan RM300.

Laporan itu juga berkata penyusunan semula dan pengurangan cukai pendapatan individu pula akan mengurangkan bebanan kewangan isi rumah.

"Selain itu, peningkatan pendapatan boleh guna yang disokong oleh prospek pekerjaan yang lebih baik dan pertumbuhan upah berterusan dijangka menyokong perbelanjaan penggunaan swasta," katanya. 


GST, inflasi, Laporan Ekonomi

Artikel Lain