suria

MAS Meterai Perjanjian Dwimod Dengan TGVAIR

KUALA LUMPUR: Malaysia Airlines (MAS) pada Khamis mengumumkan perjanjian dwimod dengan TGVAIR, rangkaian rel berkelajuan tinggi yang dikendali oleh SNFC, syarikat rel milik penuh kerajaan Perancis.

Menerusi perjanjian itu, penumpang MAS dari daerah-daerah di Perancis boleh menikmati perkhidmatan dwimod tren/penerbangan dari 19 stesen tren TGV ke Lapangan Terbang Charles de Gaulle (CDG), termasuk perkhidmatan daftar masuk di stesen tren serta penerbangan penghubung MAS.

"Dengan cara ini, penumpang sudah didaftar masuk ketika tiba di Lapangan Terbang CDG," kata MAS dalam satu kenyataan di sini.

Perkhidmatan baharu itu untuk penumpang MAS dari stesen tren Aix-en-Provence TGV, Angers-St-Laud, Avignon TGV, Bordeaux St Jean, Champagne-Ardenne TGV, Le Mans, Lille, Lorraine TGV, Lyon, Marseille, Montpellier, Nantes, Nîmes, Poitiers, Rennes, St-Pierre-des-Corps, Strasbourg, Toulon dan Valence TGV.

Menerusi kaedah itu juga penumpang tidak perlu membeli tiket penerbangan dan tiket tren secara berasingan selain menggunakan tiket tunggal tersebut untuk ke destinasi akhir mereka menerusi penerbangan penghubung MAS di Kuala Lumpur.

Perkhidmatan ini bukan sahaja lebih mudah tetapi juga menjimatkan berbanding membeli tiket penerbangan/tren secara berasingan, kata MAS.

Selain itu, penumpang yang ketinggalan penerbangan atau tren disebabkan penundaan perjalanan oleh salah satu perkhidmatan juga akan diberi sokongan. 

MAS, Dwimod, TGVAIR

Artikel Sebelum

Artikel Lain