suria

Rangka Pelan Jangka Panjang Kukuh Daya Tahan Ekonomi - MARC

KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu mempertimbang pelan jangka panjang untuk mengukuhkan daya tahan ekonomi bagi menghadapi kejutan pada masa depan, kata Malaysian Rating Corp Bhd (MARC), pada Rabu.


Katanya, pelan jangka panjang itu perlu termasuk langkah-langkah seperti strategi yang sesuai untuk menangani program pemberian tunai ketika ini, mengatasi liabiliti luar jangka dan meningkatkan perbelanjaan mengurus kerajaan.

"Tumpuan Bajet 2015 dijangka kepada isu-isu utama iaitu pengukuhan fiskal, pertumbuhan ekonomi dan menangani kenaikan kos sara hidup.

"Usaha pengukuhan fiskal seterusnya diperlukan untuk mengurangkan kebimbangan kemungkinan penurunan penarafan negara," kata Ketua Ekonomi Nor Zahidi Alias dalam nota pra-bajet agensi penarafan itu, Rabu.

Beliau berkata cabaran daripada momentum ekonomi global yang menyusut dan permintaan domestik yang perlahan akan terus menimbulkan halangan kepada ekonomi Malaysia walaupun sektor luar pulih lebih cepat daripada dijangkakan.

"MARC berpandangan bahawa Bajet 2015 dijangka memasukkan langkah-langkah untuk mengurangkan kesan daripada Cukai Barang dan Perkhidmatan (CBP) ke atas kos sara hidup.

"Kesan awal CBP ke atas inflasi tidak boleh dipandang ringan, dengan permintaan mendadak dijangka menjelang pelaksanaannya serta kemungkinan peningkatan aktiviti pencatutan," kata Nor Zahidi.

Agensi penarafan itu turut menjangkakan kerajaan akan menaikkan pemberian tunai secara langsung melalui Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) untuk sementara bagi setahun hingga dua tahun untuk membantu rakyat menangani kesan inflasi yang dijangkakan daripada CBP.

Di samping itu, pemberian sekali sahaja turut dijangka diberikan untuk memastikan penduduk berpendapatan rendah tidak akan dibebani, kata Nor Zahidi.

"Terdapat juga kemungkinan hartanah kediaman berharga di bawah RM400,000, yang ketika ini dalam senarai dikecualikan CBP, akan diklasifasikan sebagai kadar sifar," katanya.


MARC, ekonomi, Bajet 2015

Artikel Sebelum

Artikel Lain