suria

Malaysia Airports Sasar 50 Peratus Ruang Niaga Bumiputera Di klia2 pada 2018

SEPANG: Malaysia Airports Holdings Bhd (Malaysia Airports) menyasar untuk meningkatkan penyertaan Bumiputera dalam perniagaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) daripada 35 peratus kepada 50 peratus menjelang 2018, kata Pengarah Urusannya, Datuk Badlisham Ghazali.


Beliau berkata, penyertaan 35 peratus Bumiputera itu adalah tinggi berbanding pusat membeli-belah yang hanya mencatatkan antara lima peratus hingga 10 peratus penyertaan Bumiputera.

"Malaysia Airports komited untuk meningkatkannya (penyertaan Bumiputera) kepada 38 peratus menjelang akhir 2014," kata beliau pada program tanggungjawab sosial korporatnya (CSR) di klia2 di sini, Rabu.

Di bawah program CSR berkenaan, Malaysia Airports dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, memberi peluang kepada enam syarikat Bumiputera mengendalikan kiosk makanan dan minuman serta nmenyediakan perkhidmatan lain di klia2.

Kedai-kedai berkenaan ialah Agro Bazaar, Santai Reflexology, Chill Malaysia, mysouvenirs.com, Rasa Tid Bits dan Noi's Kopitiam.

Perjanjian penyewaan kedai itu diserahkan kepada wakil enam usahawan berkenaan oleh Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Abdul Aziz Kaprawi.

Bercakap pada sidang media selepas majlis itu, Abdul Aziz berkata, pada masa ini 60 usahawan Bumiputera beroperasi di klia2 dan jumlah ini mewakili 35 peratus daripada keseluruhan peniaga di klia2.

"Ada 169 outlet dalam terminal klia2 dan 60 adalah Bumiputera. Ini adalah satu perkara yang membanggakan kerana klia2 komited untuk pastikan peluang untuk usahawan Bumiputera terjamin," jelasnya.

Abdul Aziz berkata, terdapat 20 peratus kekosongan outlet di klia2 namun kekosongan itu untuk pembangunan masa depan klia2 bagi menampung perkembangan dari semasa ke semasa lapangan terbang yang baharu berusia lima bulan itu. 


klia2, Bumiputera, Malaysia Airports

Artikel Berikut

Artikel Lain