suria

Yinson Holding Kini Sasar Teluk Mexico

JOHOR BAHARU: Yinson Holdings Bhd (YHB), syarikat penyedia perkhidmatan luar pesisir bersepadu, kini mahu melibatkan diri dengan lebih aktif di Teluk Mexico berikutan peningkatan aktiviti minyak dan gas di kawasan itu.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Lim Chern Yuan berkata syarikat itu mahu lebih aktif di Teluk Mexico, selepas bertapak kukuh di Afrika Barat dan Asia yang disifatkan sebagai lokasi perniagaan utamanya.

"Teluk Mexico merupakan kawasan yang dijangka mempunyai banyak aktiviti minyak dan gas dalam tahun-tahun akan datang. Ia (Teluk Mexico) merupakan kawasan yang semakin berkembang dan kita amat berminat dengannya," kata beliau kepada pemberita selepas mesyuarat agung luar biasa (EGM) syarikat itu di sini, Selasa.

Pada ketika ini, Yinson Holdings telah pun mempunyai kedudukan yang kukuh dalam industri perkhidmatan minyak dan gas di Afrika Barat dan rantau Asia dengan pembukaan pejabat-pejabatnya di Nigeria, Gabon dan Vietnam.

Lim berkata melihat kepada potensi rantau itu, syarikat itu turut bercadang untuk membuka lebih banyak pejabat di benua Afrika selepas ini.

"Salah satu sebab di sebalik pembelian Fred Olsen Production ASA tahun lepas adalah untuk mengukuhkan kehadiran kami di Afrika Barat selain operasi di Asia," kata beliau.

Mengenai EGM itu, Lim berkata syarikat telah bersetuju untuk melupuskan 50 peratus kepentingannya di dalam Nautipa AS kepada BW Offshore dengan nilai RM187.39 juta.

Beliau berkata 50 peratus lagi kepentingan di dalam Nautipa AS dimiliki oleh BW Offshore.

Yinson Holdings dijangka memperoleh keuntungan sebanyak RM78.11 juta daripada penjualan sahamnya di dalam Nautipa AS itu, yang akan digunakan untuk modal perniagaan dan pembayaran balik pinjaman syarikat, kata Lim.


Yinson Holding

Artikel Berikut

Artikel Lain