suria

R&D: Lima Universiti Penyelidikan Jana RM3.6 Bilion

Idris Jusoh (dua, kanan) menyampaikan piala dan replika geran penyelidikan kepada pemenang terbaik INATEX 2014, Prof Dr Ida Idayu Muhamad dari Fakulti Kejuteraan Kimia pada majlis pelancaran 'Media Event Showcasing Research Universities Success Series 4: Commercialization wealth Creation Through R&D' di Dewan Sultan Iskandar Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Johor Baharu, Khamis.
JOHOR BAHARU: Sebanyak RM3.6 bilion pendapatan berjaya dijana oleh lima universiti penyelidikan menerusi aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) antara 2007 sehingga 2013.


Lima universiti penyelidikan tersebut ialah Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Malaya (UM) dan Universiti Putra Malaysia (UPM), kata Menteri Pendidikan Kedua, Datuk Seri Idris Jusoh.

Beliau berkata, antara penyumbang kepada pendapatan itu termasuk pengkomersilan produk penyelidikan bernilai RM1.25 bilion dan aktiviti R&D yang memfokuskan kepada 12 Bidang Keberhasilan Utama (NKRA) bernilai RM205.14 juta.

"Sepanjang tempoh 2005 hingga 2013, sebanyak 1,153 produk penyelidikan termasuk projek perundingan dan penyelesaian kepada masalah industri telah berjaya dihasilkan yang meliputi 12 NKRA," kata beliau kepada pemberita di Dewan Sultan Iskandar, UTM, Skudai, di sini pada Khamis.

Terdahulu, beliau merasmikan pameran yang memaparkan kejayaan universiti-universiti penyelidikan bertajuk 'Research Universities' Success Series 4: Commercialisation Wealth Creation Through R&D' di sini.

Idris berkata, sejak 2007 sehingga tahun lepas, kerajaan telah meluluskan peruntukan antara RM50 juta dan RM90.8 juta setahun di bawah peruntukan mengurus kepada setiap universiti penyelidikan membabitkan RM2.363 bilion.

Dalam tempoh itu, sebanyak 1,650 harta intelek berjaya dihasilkan menerusi aktiviti penyelidikan dan pembangunan, yang mana sehingga 2012 sebanyak RM48.7 juta berjaya diperoleh menerusi pengkomersilan harta intelek dan lesen.

Jumlah berkenaan dijangka meningkat kepada RM122 juta menjelang 2020, tambah beliau.

Idris berkata, sebanyak 77 syarikat hiliran ditubuhkan bagi membolehkan inovasi yang dihasilkan oleh penyelidik universiti dipasarkan.

"Peningkatan aktiviti penyelidikan dan pembangunan dalam kalangan universiti penyelidikan dijangka meningkatkan lagi penubuhan syarikat hiliran kepada 80 buah setahun pada 2020," kata beliau.

Dalam tempoh yang sama, sebanyak 182,720 peluang pekerjaan telah berjaya diwujudkan.


Artikel Lain