suria

Mogsec 2014 Catat Jualan RM722 Juta

Mogsec 2014 mendapat sambutan di kalangan pengusaha industri minyak dan gas.
KUALA LUMPUR: Misi Menarik Pembeli (MMP) yang diadakan sempena Persidangan dan Pameran Perkhidmatan Minyak dan Gas Malaysia (Mogsec) 2014 baru-baru ini berjaya mencatat jualan RM722 juta.

Acara itu dianjurkan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) di sini pada 23 dan 24 September lalu.

Dalam satu kenyataan pada Selasa, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Matrade, Datuk Dzulkifli Mahmud berkata, maklum balas positif diterima daripada pembeli asing serta syarikat Malaysia terhadap program MMP itu.

"Jualan yang diperolehi mencerminkan keyakinan pembeli asing terhadap kepakaran dan keupayaan Malaysia dalam sektor minyak dan gas," tambahnya.

Menurut Matrade, jualan itu merangkumi potensi kerjasama dalam kerja pembinaan bioethanol dan loji perintis, ujian bukan pemusnah (NDT), akses tali NDT, sistem proses automatik, perundingan dan perkhidmatan latihan serta produk minyak dan gas seperti penapis, paip, bolt dan pengikat.

Semasa acara itu, 119 pertemuan di antara 12 pembeli dari Jepun, Myanmar, Norway, Pakistan, Indonesia, Kenya, Korea dan Qatar diadakan dengan 74 penggiat minyak dan gas Malaysia.


Mogsec, Matrade

Artikel Lain