suria

JobStreet Janji Tiada Pemberhentian Pekerja

KUALA LUMPUR: JobStreet.com Sdn Bhd berjanji tidak akan ada pemberhentian pekerja susulan perbincangan kemungkinan pembelian syarikat pekerjaan dalam talian itu oleh SEEK Asia Investment Pte Ltd.


Ketua Pegawai Eksekutif JobStreet, Mark Chang berkata, beliau membangkitkan isu tersebut semasa perbincangan dengan pihak pengurusan SEEK pada Februari tahun ini, dan laman pekerjaan Australia itu tidak mempunyai hasrat untuk memberhentikan pekerja.

"CEO SEEK tidak mempunyai sebarang rancangan untuk memberhentikan kakitangan JobStreet, malahan sebaliknya mereka merancang mengembangkan syarikat tersebut.

"Beliau memberikan komitmen secara lisan, tetapi apa yang berlaku kemudiannya terserah kepada pemilik baharu," kata Chang kepada pemberita pada pelancaran Soukai.my di sini, Selasa.

Kakitangan Job Street melahirkan kebimbangan mereka tentang kemungkinan pemberhentian pekerja susulan rundingan pembelian portal pekerjaan yang berpangkalan di Kuala Lumpur itu, yang sekarang ini bernilai RM1.8 bilion, oleh SEEK.

Chang berkata, SEEK masih sedang menunggu kelulusan daripada pihak berkuasa Singapura untuk memuktamadkan janji niaga itu.

"Mereka (SEEK) perlu mendapatkan kelulusan daripada Competition Commission Singapore yang meminta lebih banyak maklumat daripada mereka," katanya.

Pada Februari, SEEK mengumumkan bahawa ia akan membeli JobStreet yang beroperasi di pasaran sedang pesat membangun seperti Malaysia, Singapura, Indonesia, Filipina dan Vietnam.

SEEK menjangka menggabungkan operasi JobStreet dan JobsDB, perniagaan pekerjaan dalam talian miliknya yang lain untuk mewujudkan pasaran pekerjaan dalam talian yang menambat perhatian di Asia. 


JobStreet, SEEK

Artikel Lain