Malaysia Anjur Rundingan Meja Bulat Ekonomi Di Vienna

Diterbitkan: Ahad, 28 September 2014 3:27 PM

Vienna, ibu negara Austria.

(Ubah saiz teks)

VIENNA: Malaysia akan menganjur rundingan meja bulat ekonomi di sini pada 9 Oktober bagi mempromosi peluang pelaburan dan perdagangan, kata Duta Besar Malaysia ke Austria, Datuk Selwyn Das.


Selwyn yang juga Wakil Tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) di Vienna, berkata Malaysia dan Austria kini menikmati hubungan diplomati yang rapat, dengan Malaysia dianggap sebagai destinasi pelaburan yang menarik.

Beliau berkata, rundingan itu dianjurkan oleh Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade), agensi promosi perdagangan negara di Frankfurt serta Kedutaan Malaysia di sini.

"Sejak keduataan dibuka pada 1962, kita sudah menikmati hubungan yang sangat baik dengan Austria, yang dibuktikan dengan lawatan Presidan Austria, Heinz Fischer ke Malaysia pada 2010.

"Semasa menyerahkan watikah saya kepadanya Oktober lepas, ingatan beliau terhadap Malaysia masih jelas," katanya kepada Bernama di sini.

Memandangkan Vienna merupakan antara empat bandar raya ibu pejabat PBB, termasuk menempatkan enam pertubuhan antarabangsa seperti Pejabat PBB bagi Dadah dan Jenayah dan Agensi Antarabangsa Tenaga Atom (IAEA), beliau berkata kedua-dua negara menjalin usaha sama dalam banyak isu antarabangsa.

"Kami mengikuti dan memantau rapat isu-isu bagi melindungi kepentingan negara, sebagai contoh resolusi yang baru diluluskan pada forum saintifik IAEA di sini yang memberi manfaat kepada kita," katanya dan menambah tumpuan negara kini ialah pada perdagangan, pelancongan dan pendidikan.

Dari segi perdagangan dua hala, Selwyn berkata tahun lepas Malaysia mencatat peningkatan perdagangan sebanyak 4.6 peratus kepada RM1,553.3 juta, yang memihak kepada Austria, berbanding tahun sebelumnya.

Eksport Malaysia ke Austria membabitkan produk elektrik dan elektrik, perkakasan optikal dan saintifik, mesin, komponen, kimia dan produk kimia serta pengeluaran logam.

Austria pula mengeksport produk elektrik dan elektronik, mesin, alat dan aplikasi, kimia dan produk kimia, produk kertas dan pulpa serta perkakasan saintifik ke Malaysia, katanya.

Beliau berkata banyak syarikat Austria kini beroperasi di Malaysia, termasuk Vamed, yang membina Institut Jantung Negara di Kuala Lumpur dan beberapa hospital swasta serta industri pembinaan berteknologi tinggi lain.

Kedutaan Malaysia di sini juga mempromosi hubungan dengan Austria dan universiti-universiti Malaysia selain mengkaji kemungkinan usaha sama dalam penjagaan kesihatan, dan bertukar-tukar kepakaran bagi meningkatkan perkhidmatan penjagaan kesihatan di Malaysia," katanya.

"Bagi pelancongan, lebih ramai penduduk Austria berminat terhadap budaya Asia, dan kami menerima sambutan baik daripada masyarakat di sini semasa sambutan Hari Malaysia pada 9 September lepas, dengan kami menyediakan masakan Malaysia seperti rendang dan sate," katanya dan menambah kira-kira 13,000 rakyat Austria melawat Malaysia setiap tahun.

Kini seramai 300 rakyat Malaysia menetap di Austria, termasuk 100 orang yang kebanyakannya bekerja dengan perbadanan antarabangsa di sini.

Selwyn berkata Austria juga menyatakan sokongannya kepada Malaysia, yang mempunyai kedudukan yang baik untuk menduduki kerusi bukan tetap Majlis Keselamatan PBB bagi penggal 2015-2016.


Tags / Kata Kunci: Matrade , rundingan meja bulat , Vienna

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan