suria

Sabah Sokong Usaha PNB Tingkat Ekonomi Rakyat - Musa

SANDAKAN: Kerajaan Sabah terus memberi sokongan kepada usaha yang dipacu oleh Permodalan Nasional Berhad (PNB) dalam meningkatkan ekonomi masyarakat menerusi pemilikan saham strategik oleh individu.

Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman berkata mekanisme dana unit saham telah terbukti membantu meningkatkan pendapatan dan ekonomi rakyat, khususnya PNB yang menawarkan satu lagi landasan pelaburan yang memberangsangkan untuk masyarakat Sabah.

"Rakyat di setiap pelosok negeri ini mendapat manfaat daripada penubuhan PNB dan pelancaran produk pelaburan unit amanah," katanya ketika melancarkan Amanah Saham Bumiputera (ASB) 2, peringkat negeri di sini, Sabtu.

Menurutnya rakyat negeri ini menyambut baik produk pelaburan unit amanah di bawah PNB dan ia dibuktikan menerusi jumlah pemegangan unit dan jumlah pelaburan dalam kelompok lima teratas di peringkat nasional.

Dari segi jumlah pemegang unit, Sabah menduduki tempat keempat dan kelima dari segi jumlah unit pelaburan, katanya.

Musa yakin prestasi itu dapat ditingkatkan lagi melalui usaha berterusan PNB dalam memberi pendidikan dan pendedahan berhubung pelaburan serta perancangan kewangan dalam ASB kepada rakyat negeri ini.

Beliau juga mengajak pelabur setia ASB supaya menyertai pelaburan ASB 2 yang mampu meningkatkan ekonomi menerusi mekanisme pelaburan yang diiktiraf kerajaan.

Sementara itu, Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman berkata sejumlah 1.22 bilion unit ASB 2 telah dilanggan oleh 60,941 pelabur setakat 15 Sept lepas atau 12 peratus daripada 10 bilion unit yang ditawarkan oleh PNB.

Katanya pencapaian itu baik dan memberangsangkan dalam rekod pelancaran produk baharu yang dilancarkan untuk Bumiputera mulai 2 April lepas.

Katanya bagi tempoh sama, secara keseluruhan, PNB telah menggembleng lebih 188.86 bilion unit daripada 12.09 juta pemegang unit.

Di Sabah, PNB menggembleng lebih 16.97 bilion unit daripada 1.27 juta pemegang unit setakat 31 Ogos lepas.


Sabah, PNB

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain