suria

Pengurus Dana AS Positif Terhadap Prospek Malaysia

KUALA LUMPUR: Pengurus dana tahap 1 Amerika Syarikat (US) menyedari Malaysia telah mencatatkan peningkatan yang lebih kukuh dalam pasaran kewangannya, dan menyuarakan keyakinan terhadap komitmen negara ini untuk mencapai bajet seimbang menjelang 2020.

Sejumlah 14 pengurus dana yang mengurus gabungan keseluruhan aset bernilai US$9 trilion (RM29.34 trilion), bertemu dengan peneraju pasaran modal dan pegawai tertinggi Malaysia dalam dialog institusi pelaburan, Invest Malaysia-New York.

Melalui acara itu, pengurus dana antarabangsa ini dipelawa melabur di Malaysia memandangkan pasaran negara ini lebih ke hadapan di Asean, selain memanfaatkan peluang pertumbuhan di rantau ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia Datuk Tajuddin Atan berkata mesyuarat itu membuahkan hasil dan beliau yakin, dialog tersebut akan menjadi titik perubahan bagi pengurus-pengurus dana US ini untuk mula melabur dalam pasaran Malaysia.

"Petunjuk ekonomi dan pasaran Malaysia sedang meningkat dan keputusan untuk memilih syarikat-syarikat yang boleh dilabur juga semakin jelas.

"Tambahan pula, tarikan pembangunan rangka kerja pasaran Malaysia dengan peluang pertumbuhan pasaran yang sedang berkembang merupakan asas yang kukuh untuk pelabur," katanya dalam satu kenyataan.

Dialog institusi pelabur ini dianjurkan bersama oleh Bursa Malaysia, Maybank Kim Eng dan Credit Suisse.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengetuai mesyuarat peringkat tertinggi dengan memberi tumpuan ke atas strategi pertumbuhan Malaysia dan langkah yang perlu diambil untuk mengubah ekonomi negara ini supaya maju, menyeluruh dan mampan.

Invest Malaysia-New York 2014 merupakan acara ketiga daripada siri penerangan Invest Malaysia tahun ini, yang dibuat selepas Invest Malaysia-Kuala Lumpur pada Jun dan Invest Malaysia-London pada September.

Siri keempat berlangsung di Hong Kong bulan hadapan.

Bursa Malaysia, Maybank

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain