suria

Eksport Malaysia Akan Berkembang Menerusi GST

KUALA LUMPUR: Saiz dan nilai eksport Malaysia boleh berkembang apabila cukai barang dan perkhidmatan (GST) dilaksanakan di negara ini mulai April, 2015, kata Timbalan Menteri Kewangan Datuk Chua Tee Yong.

Katanya GST bakal memberikan kesan positif ke atas industri, terutama pengeksport, selain syarikat yang menyediakan perkhidmatan sokongan yang sekali gus akan meningkatkan kadar pertumbuhan negara.

"Sebenarnya pada masa ini terdapat kelemahan (dalam sistem eksport di Malaysia), berbanding kebanyakan negara Asean yang telah mengguna pakai GST kerana mereka menetapkan sifar cukai untuk eksport.

"GST diperkenalkan supaya cukai tidak perlu dikenakan ke atas eksport...(selepas itu) kita boleh mengurangkan harga dan meningkatkan persaingan dalam kalangan negara anggota Asean.

"Oleh itu, kita harap dapat meningkatkan jumlah dagangan," katanya pada persidangan akhbar selepas menyampaikan ucaptama pada Seminar GST pada Jumaat.

Acara itu dianjurkan bersama oleh Persatuan Pemborong Pakaian Malaysia; Persatuan Pengusaha-pengusaha Pakaian Malaysia; serta Persatuan Hadiah dan Cenderamata Malaysia.

Menerusi GST, syarikat boleh mengurangkan kos perniagaan yang kemudiannya akan meningkatkan permintaan serta menaikkan jumlah jualan, kata Chua.

"Di Malaysia, cukai SST (cukai jualan dan perkhidmatan) tidak boleh diambil balik dari segi kreditnya, namun dengan sistem GST, ia dapat membantu peserta industri menerusi pulangan input cukai," katanya.

Sehingga 24 Sept 2014, sejumlah 53,458 syarikat telah mendaftar untuk GST.

GST

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain