suria

Kerajaan Lulus RM75.2 Juta Skim Pinjaman Ekonomi Desa

JITRA: Kerajaan meluluskan bantuan sebanyak RM75.2 juta melalui Skim Pinjaman Ekonomi Desa (SPED) sejak diperkenalkan pada 2001 bagi menampung modal perniagaan usahawan luar bandar di zon utara.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata SPED berjaya membiayai dan membimbing ramai usahawan luar bandar di seluruh negara melalui dua bank pelaksana iaitu SME Bank dan Bank Rakyat.

"Antara keunikan yang terdapat dalam pembiayaan SPED ini ialah kemudahan 'muqasah' dengan peminjam yang layak, menerima geran sebanyak 30 peratus daripada nilai yang dibiayai jika mereka menunjukkan prestasi kewangan cemerlang bagi tiga tahun berturut-turut selepas pembiayaan.

"Mereka yang layak menerima geran itu juga tidak mempunyai sebarang tunggakan bayaran dalam tempoh berkenaan," katanya dalam ucapan pada Majlis Perasmian Mini Karnival Usahawan Desa (KUD) 2014 Zon Utara (Perlis, Kedah dan Pulau Pinang) di RTC Napoh dekat sini, Khamis.

Dalam teks ucapannya yang dibacakan Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar Dan Wilayah, Datuk Alexander Nata Linggi, beliau berkata pemberian geran berkenaan dapat menyuntik semangat usahawan terutama di desa untuk terus cemerlang dalam bidang yang mereka ceburi.

Mohd Shafie berkata kerajaan sentiasa komited untuk membangunkan ekonomi luar bandar agar ia seimbang dengan arus pembangunan ekonomi di bandar.

Beliau berkata KUD merupakan antara usaha kementerian untuk membantu mempromosi serta memasarkan produk-produk usahawan luar bandar secara terus kepada pengguna.

Katanya karnival berkenaan juga dapat memberi pendedahan kepada masyarakat mengenai program-program sokongan kerajaan dalam membangunkan industri kecil dan sederhana khususnya di luar bandar.

Pada KUD Zon Utara, 130 gerai usahawan dan agensi kerajaan dari Perlis, Kedah dan Pulau Pinang telah mengambil bahagian dalam karnival empat hari bermula semalam (Rabu).


SPED

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

53,400 Syarikat Daftar GST

Artikel Lain