suria

Mydin Sasar Tubuh 25 Lagi Pasar Raya Menjelang 2018

KEPALA BATAS: Mydin Mohamed Holdings Bhd (Mydin), pengendali pasar raya Mydin, merancang untuk mewujudkan 25 lagi pasar raya di Malaysia dalam tempoh empat tahun akan datang.

Pengarah Urusannya Datuk Dr Ameer Ali Mydin berkata kumpulan itu melabur antara RM500 juta dan RM600 juta setahun bagi membangunkan pasar raya baharu.

"Saya percaya kami boleh mewujudkan lebih 42 pasar raya di seluruh negara menjelang 2018," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Pasar raya Mydin di Bertam, Selasa.  

Beliau berkata setakat ini kumpulan itu memiliki 243 kedai konsep termasuk pasar raya, gedung, bazar, pasar mini dan kedai runcit serta kedai premium Sam's Groceria. 

Ameer Ali berkata kumpulan itu membelanjakan kira-kira RM63.6 juta bagi membangunkan pasar raya Mydin di Bertam itu yang berkeluasan 160,000 kaki persegi dan menyediakan lebih 300 peluang pekerjaan kepada penduduk berdekatan.

"Apabila kami membuka outlet baharu, kami bukan sahaja menawarkan peluang pekerjaan tetapi juga menyediakan peluang perniagaan untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS)," katanya. 

Beliau berkata banyak PKS di kawasan berdekatan yang menerima faedah daripada pembukaan outlet Mydin di sini yang menarik lebih ramai pelanggan.    

Katanya kumpulan itu juga merancang membangunkan pasar raya Mydin di Gong Badak di Terengganu menjelang November tahun ini sebagai sebahagian projek pengembangannya di pantai timur. 

"Outlet kedua Mydin di Terengganu ini akan menelan belanja kira-kira RM100juta dan akan menjadi pasar raya ke-18 kami di Malaysia serta dijangka meningkatkan prestasi jualan kami," katanya.

Menurutnya Mydin juga menyasarkan untuk membuka lima lagi outlet tahun depan termasuk di Bukit Mertajam, Pulau Pinang; Taman Pelangi Indah, Johor Baharu; dan Melaka.

Mydin

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain