suria

CMC Engineering Rancang Beli Pesaing Di Singapura

Datuk Abdul Rahman Yusof

KUALA LUMPUR: Firma kejuruteraan, perolehan dan pembinaan CMC Engineering Sdn Bhd kini dalam perbincangan bagi membeli pesaingnya di Singapura menjelang hujung tahun ini seiring usaha syarikat memasuki pasaran Timur Tengah.

Urus niaga itu dijangka membabitkan kos RM30 juta, kata Ketua Eksekutif Datuk Abdul Rahman Yusof.

"Pembelian syarikat dalam bidang kejuruteraan rangkaian telekomunikasi itu akan menghasilkan sinergi yang lebih baik memandangkan kami memerlukan lebih banyak modal insan untuk meneroka pasaran Timur Tengah," katanya.

Beliau yang enggan mengulas lanjut, berkata syarikat yang disasarkan itu mempunyai 200 pekerja dengan perolehan tahunan RM100 juta.

CMC Engineering yang mempunyai 300 tenaga kerja itu pada masa ini memiliki pejabat di ibu negara utama Asean termasuk Singapura, Bangkok, Jakarta dan Manila.

Syarikat itu yang menawarkan perkhidmatan dalam teknologi rel, kejuruteraan rangkaian telekomunikasi serta elektrik dan penyelesaian instrumentasi untuk sektor minyak dan gas, telah membida projek di Kuwait dan Makkah, Arab Saudi.

"Kami membida projek rel di Kuwait bernilai RM500 juta dan dijangka mengetahui keputusannya awal tahun depan," katanya.

Pada Ogos, syarikat itu juga mengumumkan penyertaannya dalam sebuah konsortium untuk membida projek pengangkutan rel bernilai RM7 bilion di Makkah.

"Kami mempunyai pengetahuan dan hakikat bahawa Malaysia dan Timur Tengah berkongsi asas-asas agama Islam yang sama akan memberi kelebihan kepada kami," katanya.

Berdasarkan rancangan penembusan pasaran Timur Tengah dan kepesatan sektor pembinaan rel yang berterusan di Asean, CMC Engineering menjangka pendapatannya meningkat sekali ganda kepada RM400 juta menjelang 2017 dengan pasaran luar negara menyumbang separuh daripada itu.

Syarikat itu meraih pendapatan RM200 juta tahun lepas dengan projek di luar negara menyumbang RM70 juta.

Menurut Abdul Rahman syarikat itu juga merancang untuk disenaraikan seawal-awalnya pada akhir 2016.

Untuk projek tempatan, CMC Engineering sedang berbincang dengan KTM Bhd untuk mencuba sistem hiburan dalam kereta api terbaharunya bagi kegunaan tren antara bandar KTM.

Operasi sistem itu menyamai skrin hiburan dalam penerbangan, membolehkan penumpang melayari saluran hiburan dan maklumat mengikut kesukaan mereka. 


CMC Engineering, Singapura

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain