GST Produk Petrolium Bergantung Pada Penjimatan - Niaga | mStar

GST Produk Petrolium Bergantung Pada Penjimatan

Diterbitkan: Isnin, 15 September 2014 3:01 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kerajaan masih belum memutuskan tentang cukai barang dan perkhidmatan (GST) terhadap produk petroleum.

Ini kerana kata Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan, perkara itu bergantung kepada jumlah penjimatan daripada rasionalisasi subsidi yang dijalankan sekarang.

"Kita sedang melakukan rasionalisasi subsidi yang diketuai oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Wahid Omar dan apabila perkara ini selesai, kita akan lihat berapa banyak penjimatannya.

"Kalau penjimatannya cukup besar, mungkin kerajaan akan putuskan tidak perlu kenakan GST kepada petrol RON 95 dan produk petroleum yang lain. Jika sebaliknya, mungkin akan dikenakan cukai enam peratus, tapi belum ada keputusan lagi pada saat ini," katanya kepada pemberita di luar Seminar Antarabangsa mengenai GST 2014, di sini, Isnin.

Seminar sehari anjuran Kementerian Kewangan itu mengumpulkan pakar dari seluruh dunia untuk berkongsi pengalaman negara masing-masing dalam melaksanakan sistem cukai tambah nilai.

Mengenai impak GST terhadap sektor hartanah dan perumahan, Ahmad berkata harga akan meningkat antara 1.5 dan 2.0 peratus, bukan tiga hingga empat peratus seperti yang didakwa oleh sesetengah persatuan hartanah dan perumahan.

"Apabila GST dilaksanakan pada 1 April tahun depan, kenaikan 1.5 peratus yang 'one-off' itu adalah berdasarkan keadaan yang sudah stabil. Jangan lihat harga sekarang dan tambah 1.5 peratus.

"Tambahan pula dalam usaha menurunkan harga rumah, kemungkinan pada 10 Okt nanti, semasa pengumuman Bajet 2015, kerajaan akan mengumumkan langkah-langkah baharu untuk membendung kenaikan harga rumah yang melampau," katanya.

Tags / Kata Kunci: GST
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan