suria

Bank Islam Agih RM1 Juta Zakat Perniagaan Untuk 30 Universiti

Zukri (kiri) menyampaikan replika cek kepada Prof Dr Yahaya (tengah) pada majlis penyerahan zakat BIMB di UniSZA, Khamis.
KUALA TERENGGANU: Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) mengagihkan RM1 juta daripada zakat perniagaannya untuk golongan pelajar asnaf daripada 30 universiti seluruh negara pada tahun ini.


Pengarah Urusannya, Datuk Seri Zukri Samat berkata, jumlah agihan tersebut merupakan sebahagian daripada RM12 juta yang diperuntukkan keseluruhannya untuk golongan asnaf di seluruh negara bagi tahun ini.

"Untuk sesebuah universiti, kita peruntukkan kira-kira RM30,000 hingga RM50,000 bergantung kepada keperluan universiti berkenaan dan 30 universiti mendapat faedah daripada zakat ini untuk mereka agihkan kepada pelajar yang memerlukan.

"Wang zakat ini kita agihkan kepada golongan yang betul-betul layak mendapatnya untuk mereka menyara hidup dan menggunakannya untuk kebaikan," katanya kepada pemberita dalam sidang media selepas Majlis Penyerahan Zakat BIMB kepada Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) di sini.

Pada majlis berkenaan Zukri turut menyerahkan replika cek bernilai RM30,000 kepada Naib Canselor UniSZA, Prof Datuk Dr Yahaya Ibrahim.

Sementara itu, Yahaya berkata, pihaknya berterima kasih kepada Bank Islam yang sentiasa komited membantu pelajar yang tidak berkemampuan setiap tahun.

"Pihak kami akan menapis kriteria pelajar yang layak menerima wang zakat ini terlebih dahulu dan sesi temu duga juga turut diadakan dan dengan adanya wang zakat ini, ia sememangnya dapat membantu pelajar untuk menyara kehidupan mereka di kampus," katanya.

Menurutnya, UniSZA dan Bank Islam juga akan bekerjasama untuk penggunaan kad UniDebit bagi kegunaan pelajar dan staf di universiti berkenaan.

"Insya-Allah kita akan laksanakan penggunaan kad pelbagai ini, pada tahun hadapan yang mana kad ini merupakan kad serba guna dan boleh digunakan untuk urusan bank serta kad matrik pelajar dan ini akan memudahkan urusan pelajar sebab mereka tidak perlu ada banyak kad," katanya.

Pihaknya turut mempelawa dan mengalu-alukan BIMB untuk menjadi penyumbang utama bagi tabung penubuhan Kursi Sultan Mizan yang ditubuhkan di bawah Institut Penyelidikan Produk dan Ketamadunan Islam (Inspire) untuk menjadi pusat pengumpulan pakar dari dalam dan luar negara untuk tujuan penyelidikan.

"Sebenarnya untuk penubuhan Kursi Sultan Mizan ini, kita memerlukan RM5 juta, tetapi kita tidak menggunakan wang tersebut untuk operasi, wang itu kita akan simpan balik di bank yang menjadi penyumbang kepada tabung berkenaan dan kita hanya menggunakan faedah daripada jumlah itu sahaja," katanya.


BIMB, zakat, universiti

Artikel Berikut

Artikel Lain