suria

21 Lagi Ar-Rahnu Yapeim Dibuka Tahun Ini - Jamil Khir

TUMPAT: Sebanyak 21 lagi cawangan Ar-Rahnu di bawah Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) akan dibuka bagi mencapai sasaran 202 cawangan tahun ini.


Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, usaha itu sejajar dengan rancangan mewujudkan cawangan di setiap kawasan Parlimen menjelang 2018.

"Perasmian cawangan di Pengkalan Kubor hari ini, merupakan langkah melengkapkan sasaran tahun 2014," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Hari Bertemu Pelanggan Ar-Rahnu YaPEIM di sini, Jumaat.

Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YaPEIM, Datuk Abdul Malek Awang Kechil turut hadir.

Jamil Khir berkata, terdapat 178 cawangan Ar Rahnu di seluruh negara yang menyediakan pelbagai perkhidmatan untuk membantu perkembangan ekonomi rakyat.

Menurutnya, pajak gadai Islam itu, bukan hanya sebagai premis gadaian barangan kemas tetapi menjadi mekanisme sumber kewangan secara segera.

"Program mikro kredit yang ditawarkan akan membantu masyarakat terutama di kawasan banyak terlibat dengan aktiviti ekonomi atau syarikat kecil dan sederhana," katanya.

Katanya, strategi mikro kredit itu sangat berkesan selain patuh Syariah.

Menteri itu berkata, Ar-Rahnu juga akan membuka rangkaian kedai YaPEIM Smart untuk menjual barangan harga patut dengan konsep 1 Malaysia.


Artikel Sebelum

Artikel Lain