suria

PNB Berjaya Agih RM117.79 Bilion Pendapatan Sejak 33 Tahun Lepas

PUTRAJAYA: Permodalan Nasional Bhd (PNB) telah mengagihkan pendapatan berjumlah RM117.79 bilion kepada pemegang akaun PNB sejak 1981 hingga Ogos 2014, hasil daripada dividen yang diperoleh daripada syarikat-syarikat strategik dan lain-lain pelaburan PNB.


Pengerusi PNB Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid berkata, kejayaan PNB itu membuktikan lembaga pengarah dan pengurusannya mengamalkan sifat berhemat cermat, arif dalam berhitung dan cermat dalam berkira.

"Dengan modal yang digembeleng daripada rakyat, unit dalam edaran yang diuruskan oleh PNB kini berjumlah 187.8 bilion yang dilanggan oleh 12.07 juta pemegang akaun setakat 31 Ogos 2014," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada pertandingan akhir dan majlis penyampaian hadiah Kuiz Pelaburan PNB 1Malaysia kategori badan beruniform di sini, Selasa.

Beliau juga meminta semua rakyat Malaysia supaya sentiasa beringat dan membuat pelaburan secara konsisten untuk masa depan diri dan keluarga masing-masing.

"Dengan memperuntukkan RM50 setiap bulan, jika dilaburkan dalam dana yang menawarkan pulangan sekitar tujuh peratus, dalam tempoh 30 tahun akan menjana pelaburan sebanyak RM60,998," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata penganjuran Kuiz Pelaburan PNB 1Malaysia kategori badan beruniform pada tahun ini telah mencatatkan jumlah penyertaan tertinggi setakat ini, iaitu seramai 18,642 peserta sejak kuiz itu diperkenalkan pada 2003.

Pada tahun lepas, seramai 9,144 peserta menyertai acara tersebut.

Penyertaan tahun ini juga lebih tinggi jika dibandingkan dengan jumlah keseluruhan penyertaan semenjak kuiz kategori ini dianjurkan pada 2003 hingga 2013, yang melibatkan 16,968 penyertaan.

"Dengan sambutan yang hebat ini, pihak PNB telah membuat keputusan untuk menaikkan nilai hadiah untuk kuiz yang akan datang agar peserta lebih bersemangat untuk menyertai kuiz ini," katanya.

Beliau berkata, selain kuiz untuk badan beruniform, program pendidikan pelaburan anjuran PNB menerusi kuiz pelaburan juga disasarkan kepada tiga kategori lain iaitu sekolah menengah, universiti dan institut pendidikan guru, selain program pendidikan yang lain.

Sementara itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat dinobatkan sebagai johan Kuiz Pelaburan Permodalan Nasional Bhd (PNB) 1Malaysia Kategori Badan Beruniform pada tahun ini.

Juara memenangi piala pusingan, piala iringan, sijil penyertaan dan hadiah berupa unit-unit Amanah Saham Gemilang-Pendidikan bernilai RM10,000.

Tempat kedua dan ketiga pula masing-masing dimenangi oleh Angkatan Tentera Malaysia dan Bahagian Kejururawatan Malaysia.

Pertandingan tersebut menyaksikan dua belas badan beruniform di peringkat separuh akhir berentap merebut kejuaraan keseluruhan di peringkat akhir kuiz itu.

 

Artikel Sebelum

Artikel Lain