suria

Matrade Bangunkan Inisiatif Bantu Syarikat Pengeksport

SEREMBAN: Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) membangunkan beberapa inisiatif baharu berikutan cabaran yang dihadapi oleh syarikat-syarikat pengeksport Malaysia di peringkat antarabangsa selain membimbing syarikat tersebut dalam menembusi pasaran yang semakin kompleks.

Pengerusi Matrade Datuk Noraini Ahmad berkata antara program dan inisiatif baharu Matrade itu ialah program 'Go-Ex' dan program pembangunan syarikat-syarikat peringkat pertengahan.

"Kedua-dua inisiatif ini melibatkan program bantuan khusus yang distrukturkan mengikut kemampuan setiap syarikat yang mengambil bahagian bagi meningkatkan kemahiran eksport syarikat-syarikat tempatan.

"Selain itu, program e-dagang pula bertujuan membantu dan menggalakkan syarikat-syarikat tempatan untuk menggunakan platform e-dagang bagi mempromosi barangan dan perkhidmatan mereka di pasaran antarabangsa.

"Program pembangunan pengeksport muda pula merupakan program khusus untuk usahawan muda bagi membangunkan usahawan pelapis yang berkemampuan untuk menembusi pasaran eksport," katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian program 'Forum Pengeksport' Matrade 2014 oleh Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan, di sini, Selasa.

Di samping itu, katanya Matrade masih menjalankan program khas bagi membangunkan pengeksport Bumiputera melalui perancangan yang komprehensif yang melibatkan pimpinan, latihan dan penyertaan dalam program pameran dan misi pemasaran di peringkat antarabangsa.

Tidak ketinggalan, katanya program khusus juga disediakan untuk usahawan wanita, khusus untuk syarikat yang dimiliki dan diurus oleh kaum wanita.

Sehubungan itu, beliau menyeru usahawan di negara ini untuk mengambil peluang mengikuti dengan lebih dekat peranan serta aktiviti yang dijalankan oleh Matrade serta agensi yang berkaitan dalam membantu syarikat yang berminat untuk meluaskan pasaran di luar negara.

Katanya tahun lepas, Matrade memberi khidmat kepada lebih 11,000 syarikat pengeksport dari seluruh negara.

"Matrade akan terus bekerjasama dengan syarikat-syarikat tempatan dalam meningkatkan keupayaan syarikat dan seterusnya mengembang dan mengukuhkan jaringan perniagaan mereka di peringkat antarabangsa.

"Sebagai sebuah agensi yang bertanggungjawab untuk meningkatkan eksport negara, Matrade menyediakan pelbagai aktiviti, maklumat serta kemudahan bagi membimbing dan membantu syarikat untuk memasuki pasaran luar.

"Tahun ini, Matrade menganjurkan 147 aktiviti promosi eksport yang melibatkan 436 pasaran dalam 20 sektor. Antaranya sektor makanan, gaya hidup, bahan binaan, francais, minyak dan gas, elektrik dan elektronik, pengangkutan, halal, kesihatan, teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dan logistik," katanya.

Sementara itu, Mohamad menggesa lebih banyak syarikat di Negeri Sembilan tampil ke hadapan untuk mendaftar dengan Matrade bagi membolehkan mereka menikmati faedah serta bantuan yang disalurkan.

Katanya setakat ini hanya 221 syarikat dari Negeri Sembilan berdaftar dengan Matrade dan masih terdapat ruang yang luas untuk syarikat negeri ini melibatkan diri mereka dalam sektor eksport.

"Saya difahamkan bahawa pada forum ini beberapa syarikat dari negeri ini akan berkongsi pengalaman dalam mengeksport barangan dan perkhidmatan mereka keluar negara melalui bantuan yang diberikan oleh Matrade. Saya harap usahawan ini mendapat manfaat menerusi faktor kejayaan yang akan didedahkan," katanya.

Program 'Forum Eksport itu bertujuan menggalakkan syarikat tempatan mengembangkan perniagaan mereka di peringkat global.

Selain itu, ia juga merupakan platform untuk mendapatkan maklum balas daripada para usahawan dan pengeksport bagi mengenal pasti masalah serta isu-isu semasa yang dihadapi oleh usahawan tempatan berkaitan dengan pengurusan perdagangan antarabangsa.


Matrade

Artikel Lain