suria

Seed Gesa Usahawan Kaum India Terokai Industri Halal

KUALA LUMPUR: Sekretariat Khas Untuk Memperkasa Usahawan India (Seed) telah menggesa ahli perniagaan kaum itu untuk meneroka pasaran halal, terutama dalam lima segmen, iaitu makanan dan minuman, farmaseutikal, kosmetik, logistik dan perkhidmatan.

Pengarah Eksekutifnya, Dr A T Kumararajah berkata, Malaysia mempunyai potensi untuk menjadi peserta halal utama, berikutan itu usahawan keturunan India perlu berusaha keras untuk menguasai sebahagian besar pasaran di samping ahli perniagaan Melayu dan China bagi menyokong agenda kerajaan.

"Kerajaan mahu perniagaan membantu agenda menukar Malaysia kepada hab halal. Kita sudah pun berada di depan dalam kewangan Islam, oleh itu marilah bersama-sama menerokai industri halal," katanya.

Kumararajah berkata, walaupun hanya empat perniagaan kaum India mendaftar dengan Perbadanan Pembangunan Industri Halal (PPIH) daripada 800 syarikat, banyak usahawan India sudah menunjukkan minat dalam industri berkenaan selepas menyedari potensinya.

"Kesedaran mereka perlu dipertingkat yang pasaran halal bukan setakat membabitkan makanan. Ia merangkumi kosmetik, farmaseutikal, logistik dan perkhidmatan yang sudah banyak syarikat India membabitkan diri.

"Mereka boleh meneroka pasaran halal dengan menghasilkan produk siap untuk dieksport ke negara-negara Majlis Kerjasama Teluk," katanya.

Pengerusi Seed, Datuk Ragu Subramaniam berkata, Seed akan menganjurkan program kesedaran pasaran halal untuk kira-kira 500 usahawan India pada 20 September ini.

Beliau berkata, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia akan memberi penerangan kepada mereka mengenai keperluan dan pensijilan halal.

SEED adalah unit yang ditubuhkan di bawah Program Transformasi Ekonomi Masyarakat India di Jabatan Perdana Menteri.


Seed

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain