suria

Johor Yakin Tarik Lebih Banyak FDI Dari Jepun

PASIR GUDANG: Johor yakin dapat menarik lebih banyak pelaburan langsung asing (FDI) dari Jepun pada masa depan, kata Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Beliau berkata keyakinan itu berdasarkan kestabilan politik, prasarana yang sesuai, persekitaran perniagaan yang kondusif dan selamat serta bahan mentah yang banyak dan kumpulan bakat yang dimiliki negeri pada masa ini.

Katanya pelaburan daripada pelabur Jepun di Johor adalah besar sejak beberapa tahun ini.

"Pada 2013, jumlah FDI yang diterima dari Jepun ialah RM528 juta (US$164 juta) atau 4.58 peratus daripada jumlah keseluruhan FDI, manakala RM454 juta atau 10.98 peratus daripada FDI diterima pada 2012," kata Mohamed Khaled.

Beliau berkata demikian pada majlis perasmian Adeka Foods (Asia) Sdn Bhd di Kawasan Perindustrian Tanjung Langsat di sini, Isnin.

Turut hadir ialah Presiden Adeka Corporation, Akio Kohri dan Pengarah Eksekutif Kumpulan IOI Group, Datuk Lee Yeow Chor.

Mohamed Khaled berkata industri pertanian Johor adalah kukuh dan negeri ini kekal sebagai pengeluar makanan terpenting negara.

Johor memiliki ladang kelapa sawit terbesar dalam negara dan menjadi antara sebab Adeka Foods memilih negeri ini sebagai lokasi untuk menubuhkan kemudahan pengeluarannya di sini.

Adeka Foods, merupakan usaha sama antara makanan diproses Jepun dan perusahaan kimia Adeka Corporation dan konglomerat Malaysia IOI Corporation, memulakan pembinaan kilang seluas 35,000 meter persegi pada Ogos tahun lepas dan beroperasi pada awal bulan ini.

Selain itu, ia mengeluarkan marjerin, lelemak, minyak dan lemak untuk coklat, minyak dan lemak untuk menggoreng, krim putar, produk diperkaya susu, pai beku dan sos mayonis, yang kebanyakannya akan dieksport ke negara-negara Asia Tenggara. 


Johor

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

CEO SME Terima Anugerah Apec

Artikel Lain