suria

Bank Rakyat Catat Keuntungan Sebelum Cukai, Zakat RM2.1 Bilion

KOTA BAHARU: Bank Rakyat mencatat keuntungan sebelum cukai dan zakat sebanyak RM2.1 bilion tahun lepas, kata Pengerusinya Datuk Mat Noor Nawi.


Beliau berkata, tahun lepas, jumlah zakat perniagaan yang dibayar oleh Bank Rakyat sebanyak RM41 juta.

"Daripada jumlah berkenaan, RM25.6 juta diagihkan kepada Pusat Zakat Negeri dan selebihnya zakat asnaf yang diagihkan sendiri oleh Bank Rakyat.

"Jumlah aset Bank Rakyat sebanyak RM82.9 bilion," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Sumbangan Van Penumpang kepada Skuad Kaseh OKB Hospis di sini, Ahad.

Turut hadir Presiden Persatuan Orang Kota Baharu (POKB), Datuk Sheikh Ahmad Dusuki Sheikh Mohamad.

Beliau berkata, negeri Kelantan menerima zakat antara RM1.2 dan RM1.3 juta dalam tempoh tiga tahun lepas.

"Kita telah menyumbang sebanyak RM30,000 untuk keperluan anak yatim serta miskin melalui POKB dan RM5,000 untuk Tabung Kaseh Kanser OKB.

"Melalui OKB juga kita telah serahkan van jenazah kepada dua masjid di Kota Baharu iaitu Masjid Bandar Telipot dan Masjid Mukim Pintu Geng," katanya.

Sementara itu, Sheikh Ahmad Dusuki berkata, dengan adanya van penumpang itu, skuad Kaseh OKB HOSPIS dapat membantu pesakit kanser di Kelantan.

"Kita akan turun dari rumah ke rumah untuk membantu pesakit kanser yang berada pada tahap empat. Van itu juga akan digunakan untuk membantu pesakit buah pinggang yang memerlukan," katanya.


Artikel Lain