suria

TM Sasar Jualan RM250,000 iTalk Musim Haji 2014

MEKAH: Telekom Malaysia Berhad (TM) menyasarkan jualan RM250,000 kad telefon prabayar 'iTalk' bagi musim haji 2014 walaupun berhadapan saingan hebat daripada kad telefon prabayar Arab Saudi.

 

Penolong Pengurus Bahagian Konsumer TM Junaidah Jusoh berkata, pada musim haji tahun lepas iTalk mencatat jualan RM213,000.

"Untuk musim haji kali ini, TM menawarkan panggilan separuh harga berbanding harga biasa. Pelanggan hanya dikenakan bayaran RM1 bagi satu minit panggilan ke Malaysia berbanding RM1.80 pada harga biasa, iaitu hampir separuh harga," katanya kepada media Malaysia di sini Sabtu.

Beliau berkata, tawaran itu dibuka untuk tempoh selama tiga bulan iaitu dari 15 Ogos hingga 15 November, dan setakat ini sebanyak RM50,000 nilai kad iTalk dijual sehingga hari ini sejak tawaran itu dibuka.

"Dengan kad prabayar iTalk bernilai RM50, jemaah haji boleh membuat panggilan selama 50 minit 50 saat kepada keluarga mereka di Malaysia," katanya.

Junaidah berkata, keluarga dari Malaysia juga boleh menghubungi telefon bimbit jemaah haji di sini.

"Bagaimanapun panggilan menggunakan kad prabayar iTalk di sini hanya boleh digunakan dengan telefon talian tetap yang disediakan di kios-kios TM yang dibuka di semua maktab penginapan TH di Makkah dan Madinah, bermula 9 pagi hingga 9 malam waktu tempatan setiap hari," katanya.

Berikutan pertambahan jemaah haji yang tiba di Mekah dan Madinah, pihaknya kini perlu menambah jumlah telefon talian tetap daripada tiga kepada lima unit, katanya.

Junaidah berkata, waktu puncak selalunya selepas solat fardu apabila jemaah haji mempunyai masa untuk berehat.

Beliau berkata, perkhidmatan iTalk diperkenalkan kepada jemaah haji sejak 15 tahun lepas, dan hingga kini tetap mendapat sambutan walaupun terpaksa bersaing dengan syarikat telekomunikasi Arab Saudi.

Beliau berkata, kebaikan iTalk ialah jika kad prabayar itu mempunyai baki nilai kad, ia masih boleh digunakan di Malaysia berbanding nilai kad prabayar Arab Saudi.




iTalk, Telekom Malaysia Berhad, haji

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain