suria

Mexico Gesa Firma Malaysia Teroka Peluang Industri O&G

KUALA LUMPUR: Penggiat industri minyak dan gas (O&G) tempatan digesa mengenal pasti peluang besar dalam projek minyak, gas dan elektrik milik Kerajaan Mexico, kata Duta Besarnya ke Malaysia, Carlos Felix Corona.


Industri O&G negara Amerika Latin itu, yang dikuasai selama lebih 70 tahun oleh kerajaan, sudah direformasi dan kini membuka pintu kepada penyertaan syarikat asing untuk menjayakan projek tenaganya.

"Syarikat asing, termasuk dari Malaysia, boleh membida kontrak perkongsian keuntungan secara usaha sama atau bersendirian dalam penerokaan, pengeluaran, pengangkutan dan penyimpanan O&G Mexico yang selama ini dikawal sepenuhnya oleh Petróleos Mexicanos (Pemex), syarikat petroleum negara itu," katanya kepada Bernama.

Corona berkata, pembidaan untuk blok O&G dan medan minyak kepada pelabur berpotensi, bermula Januari 2015.

Kawasan untuk syarikat persendirian, termasuk laut dalam, medan minyak matang dan rizab bukan konvensional, seperti pengeluaran gas syal, katanya.

Laporan awal menyebut kerajaan Mexico mengenal pasti 109 blok dalam pusingan pertama pembidaan dan mengunjurkan pelaburan sebanyak US$50 bilion dalam tempoh empat tahun akan datang, termasuk usaha sama dengan Pemex.

"Kami sudah memulakan perbincangan dengan beberapa syarikat berpotensi Malaysia, termasuk yang membida projek berkenaan.

"Ada peluang besar untuk penggiat industri, dan Malaysia merupakan peserta utama. Kami memilih Malaysia disebabkan kepakarannya dalam bidang berkenaan," kata Corona.

Menurut sumber, dagangan dua hala Malaysia dan Mexico mencecah US$5.55 bilion pada 2013.

Dalam tempoh suku pertama 2014, dagangan dua hala antara kedua-dua negara bernilai US$1.388 bilion.

Barangan utama Mexico termasuk peralatan elektrik dan elektronik, mesin, reaktor nuklear, kompaun logam berharga manakala import dari Malaysia meliputi getah, plastik, kayu, tembaga dan produk kimia.

"Dagangan dua hala Malaysia dan Mexico sangat penting berikutan Malaysia ialah rakan dagang utama kami di Asia Tenggara," kata Corona.

















Mexico, Carlos Felix Corona

Artikel Lain