suria

Mardi Jalin Kerjasama Dengan Rhino Research Europe

Ketua Pengarah Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) Datuk Dr Sharif Haron, dua dari kiri.

KUALA LUMPUR: Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) menjalin kerjasama dengan Rhino Research Europe dari Belanda bagi memperkukuh usahanya dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D) berkaitan biji benih tanaman, dalam untuk memajukan sektor pertanian negara.

Memorandum Persefahaman (MoU) antara Mardi dan Rhino Research Europe ditandatangani di sini hari ini bagi membolehkan kerjasama selama lima tahun itu dilaksanakan.

Ketua Pengarah Mardi Datuk Dr Sharif Haron berkata Malaysia masih di belakang Thailand, Filipina dan Indonesia, dalam bidang berkaitan sains dan teknologi biji benih.

"Jadi, Mardi kini menjurus ke arah kompetensi, termasuk menghasilkan biji benih yang lebih baik dan berkualiti serta dapat mengeluarkan hasil berlebihan yang menepati standard Persatuan Pengujian Bijih Benih Antarabangsa (ISTA)," katanya kepada pemberita selepas menandatangani MoU itu di Serdang dekai sini.

Pengarah Urusan Rhino Research Europe Johan Van Asbrouck, menandatangani MoU itu bagi pihak syarikatnya.

Melalui MoU itu, Rhino Research Europe, salah satu syarikat peneraju terkemuka di dunia berdasarkan penyelidikan dan pengalaman dalam penghasilan produk dan perkhidmatan teknologi biji benih yang telah dipatenkan, akan menyediakan teknologi, kepakaran saintifik dan teknikal serta perundingan.

Ketua Unit Pengeluaran Bahan Tanaman Biji Benih dan Baka Ternakan Mardi Dr Mohammed Selamat Madom pula berkata sebuah makmal akreditasi ISTA sedang dibangunkan yang akan terlibat dalam pengesahan kualiti biji benih yang dimport atau dieksport.

"Melalui usaha ini Mardi yakin dapat membawa perubahan positif dalam industri biji benih yang terlibat secara langsung dengan Dasar Agro makanan Negara (MAN) dan seterusnya memberi manfaat kepada petani di negara ini," katanya.


Mardi, Rhino Research Europe

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain