suria

Malaysia Di Kedudukan Ke-20 Laporan Daya Saing Global

KUALA LUMPUR: Kedudukan Malaysia dalam Laporan Daya Saing Global 2014-2015 melonjak ke tangga ke-20 daripada kalangan 144 negara, mendahului ekonomi maju seperti Austria, Australia, Perancis dan Korea Selatan.

Tahun lepas, negara berada di kedudukan ke-24 daripada kalangan 148 negara.

Ketua Pengarah Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), Datuk Mohd Razali Hussain berkata, meskipun ini merupakan kedudukan terbaik Malaysia setakat ini, kerajaan akan terus mengukuhkan usaha dalam tunggak seperti persekitaran ekonomi makro, kecekapan pasaran buruh dan kesediaan teknologi.

"Persekitaran ekonomi makro mencatatkan penurunan enam tangga ke kedudukan ke-44 daripada ke-38 tahun lepas. Perhatian utama kita ialah pada keseimbangan bajet kerajaan dan hutang kerajaan.

"Mengenai kesediaan teknologi, Malaysia turun enam tangga ke kedudukan ke-60 daripada ke-51 sebelum ini," katanya pada sidang akhbar selepas mengumumkan kedudukan daya saing negara pada Selasa.

Mohd Razali berkata MPC ingin mencadangkan penubuhan pasukan tugas khas bagi menambah baik kesediaan teknologi di negara ini.

Antara inisiatif yang perlu diperkukuh termasuklah langganan jalur lebar mudah alih bagi setiap 100 penduduk, lebar jalur Internet antarabangsa dan langganan Internet jalur lebar tetap bagi setiap 100 penduduk.

Mengenai tunggak kecekapan pasaran buruh, yang meningkat ke tangga ke-19 daripada ke-25 tahun lepas, Mohd Razali berkata kerajaan akan terus menggiatkan inisiatif bagi menggalakkan penyertaan wanita dalam tenaga kerja buruh.

Pada 2013, daripada keseluruhan penduduk wanita di negara ini, 52.4 peratus kini bekerja.

"Kami akan mengadakan perbincangan dengan pelbagai kementerian dan agensi untuk meningkatkan kedudukan Malaysia dalam tiga tunggak, serta, mengadakan lebih banyak perbincangan dengan komuniti perniagaan," katanya.

Sementara itu, Mohd Razali juga mencadangkan untuk mengadakan laporan daya saing peringkat negara, dalam tempoh tiga hingga empat tahun akan datang.

"Daripada rangking, ia akan mendorong kita melakukan yang lebih baik lagi dalam bidang yang kita lemah," katanya.

Laporan Daya Saing Global, yang berasaskan kepada Indeks Daya Saing Global, diperkenalkan oleh Forum Ekonomi Dunia pada 2004. 


MPC

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain