suria

Mida Akan Kaji Semula Dasar Insentif

Tan Sri Amirsham Abdul Aziz

GEORGE TOWN: Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) akan terus mengkaji semula dasar insentifnya agar ia kekal relevan, kata Pengerusinya, Senator Tan Sri Amirsham Abdul Aziz.

Beliau berkata, MIDA juga akan terus menambah baik dirinya agar negara kekal kompetitif dan menarik pelaburan berkualiti bagi mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan.

"Beberapa dialog sedang diadakan dengan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Unit Perancangan Ekonomi dan Bank Negara Malaysia bagi mempromosi industri tertentu yang mempunyai tambah nilai tinggi," katanya.

Amirsham berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Pusat Kecemerlangan Untuk Penglihatan Jentera ViTrox Technologies Sdn Bhd di Taman Perindustrian Bayan Lepas di sini, Selasa.

Mengenai prestasi pelaburan Malaysia tahun ini, Amirsham berkata, negara ini terus mampu menarik pelaburan tempatan dan seberang laut bagi menjana pekerjaan berkemahiran tinggi.

Beliau berkata, sehingga Mei lalu Malaysia menarik RM50.3 bilion pelaburan membabitkan kira-kira 570 projek dan menghasilkan kira-kira 50,000 pekerjaan dan yakin sasaran pelaburan RM140 bilion untuk tahun ini dapat dicapai.

Mengenai Pusat Kecemerlangan ViTrox, Amirsham berkata, komitmen syarikat itu secara langsung akan menyumbangkan kepada wawasan Malaysia untuk merubah kepada ekonomi berasaskan pengetahuan menjelang 2020.

"Penubuhan pusat itu yang memberi tumpuan kepada penyelidikan dan pembangunan serta pusat latihan adalah sejajar dengan agenda pelaburan negara dalam memperkukuh kluster jentera dan kelengkapan industri.

"Ia juga akan memupuk syarikat tempatan, terutama perusahaan kecil dan sederhana untuk kompetitif di peringkat global di samping menyepadukan mereka ke dalam rangkaian serantau serta global," katanya.

Pusat Kecemerlangan ViTroxis sebahagiannya dibiayai Dana Strategik Pelaburan Domestik yang diuruskan MIDA.

Ia bertujuan mempercepatkan peralihan syarikat Malaysia ke dalam industri bersasaran kepada tambah nilai tinggi, teknologi tinggi, intensif pengetahuan serta industri berasaskan inovasi.


Mida

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain