suria

Bank Muamalat Jangka Lancar Perbankan Persendirian Islam

KUALA LUMPUR: Bank Muamalat Malaysia Bhd menjangkakan untuk melancarkan Perbankan Persendirian Islam dalam tempoh setahun bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat terhadap perkhidmatan tersebut.

Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Mohd Redza Shah Abdul Wahid berkata bank ketika ini sedang mengkaji konsep produk tersebut dan menjangkakan rangka kerja itu akan siap dalam tempoh enam bulan akan datang.

"Jika semuanya positif, kami akan melancarkan perbankan persendirian Islam pada tahun depan, dan akan menjadi yang pertama untuk diperkenalkan di Malaysia," katanya kepada pemberita selepas menandatangani memorandum persefahaman dengan Bank of London and The Middle East Plc, di sini, Selasa.

Mohd Redza berkata ketika ini Bank Muamalat mempunyai produk perbankan persendirian, terutamanya dalam pengurusan kekayaan, bagaimanapun, ia tidak dirangka secara menyeluruh.

Bank akan menggunakan kerjasama ini sebagai platform untuk menembusi segmen baharu melalui pendekatan menyeluruh yang akan meningkatkan perbankan Islam tempatan dari segi pelaburan, katanya.

Beliau juga berkata Bank of London and The Middle East mempunyai kepakaran dalam mengendalikan pelanggan perbankan persendirian, justeru itu, ia merupakan peluang baik bagi Bank Muamalat untuk bekerjasama dengan bank tersebut.

Inisiatif merentasi sempadan antara dua institusi kewangan di dua buah negara akan membolehkan kami untuk berkongsi kepakaran kami, dan mendekati pasaran bagi menawarkan perkhidmatan kami, katanya.

"Kami akan meluaskan produk kami di peringkat global, selepas berjaya memberi khidmat di pasaran tempatan," katanya.

Ditanya sama ada kedua-dua bank tersebut akan mempertimbangkan penggabungan dan pengambilalihan dan membentuk syarikat lain, beliau berkata mereka terbuka mengenainya selagi ia memberi nilai kepada pemegang saham dan syarikat.

Ketika ini, kewangan Islam menyumbang 25 peratus daripada industri perbankan di Malaysia, pertumbuhan sebanyak dua peratus berbanding 2013. Daripada jumlah ini, enam peratus disumbangkan oleh Bank Mualamat.

"Kami menjangkakan industri di Malaysia akan menyaksikan pertumbuhan yang berterusan sebanyak dua peratus tahun ke tahun," katanya.


Bank Muamalat

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain