suria

MTEM Sokong Perkenal Laporan Kepelbagaian Dalam Organisasi Korporat

KUALA LUMPUR: Majlis Tindakan Ekonomi Malaysia (MTEM) berpendapat usaha memperkenalkan laporan kepelbagaian dalam struktur organisasi sektor korporat boleh memupuk budaya kemapanan yang lebih teguh.

Ketua Pegawai Eksekutif MTEM Nizam Mahshar berkata MTEM menyifatkan seruan kerajaan itu tepat pada masanya selaras persekitaran sosioekonomi semasa Malaysia hari ini.

"Pada masa ini tiada apa-apa paksaan dikenakan terhadap syarikat-syarikat di Malaysia untuk menerbitkan analisis kepelbagaian mereka dalam apa-apa bentuk penerbitan walaupun ia telah menjadi pelaksanaan sebahagian daripada amalan terbaik 100 syarikat Forbes.

"Oleh itu kami mencadangkan Suruhanjaya Sekuriti menganggap ini sebagai satu titik tolak bagi syarikat-syarikat yang tersenarai untuk menerbitkan kepelbagaian ini dalam laporan tahunan mereka," katanya dalam satu kenyataan di sini, Isnin.

Pada 26 Ogos lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menyarankan sektor korporat melakukan amalan terbaik dengan melaporkan kepelbagaian dalam struktur organisasi mereka.

Perdana Menteri dilapor berkata syarikat mestilah menyenaraikan jantina, kumpulan etnik dan umur yang terbabit dalam organisasi masing-masing.

Selain itu, Nizam berkata MTEM juga mencadangkan supaya syarikat korporat di Malaysia mendedahkan nisbah gaji ketua eksekutif dengan gaji pekerja biasa dalam syarikat.

"Institut Drucker - dinamakan sempena Peter Drucker yang dianggap bapa pengurusan moden - menegaskan bahawa nisbah purata yang wajar antara ketua pegawai eksekutif dan pekerja tidak melebihi 20-1.

"Kami percaya pelabur juga harus mengambil kira perkara ini agar syarikat lebih telus mengenai nisbah ini," katanya.

MTEM juga menggesa Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu) memantau syarikat yang membayar gaji paling rendah kepada pekerja mereka.

"Kami juga meminta memantau berapa banyak syarikat-syarikat tersenarai di Malaysia yang membayar pekerja mereka pada tahap gaji yang paling rendah," katanya.

MTEM

Artikel Sebelum

Artikel Lain