suria

BNM Dapatkan Maklum Balas Orang Ramai Mengenai Skim Ombudsman Kewangan

KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia (BNM) akan mendapatkan maklum balas daripada orang ramai berhubung kertas konsepnya mengenai Skim Ombudsman Kewangan (FOS).


Dalam kenyataan pada Jumaat, BNM berkata, kertas konsep itu bertujuan memperkukuh saluran bantuan penyelesaian pengguna kewangan, selaras dengan saranan yang digariskan dalam Pelan Sektor Kewangan.

"Aspek utama rangka kerja FOS yang dicadangkan termasuklah mengguna pakai prinsip-prinsip bagi FOS, iaitu kebebasan, keadilan dan kesaksamaan, kemudahan akses, kebertanggungjawaban, ketelusan dan keberkesanan," katanya.

BNM berkata, ia juga mahu pengaturan tadbir urus yang lebih mantap dari segi keanggotaan dalam Lembaga Pengarah, yang hendaklah terdiri daripada ahli lembaga pengarah yang bebas, serta peruntukan untuk penilaian bebas secara berkala ke atas operasi FOS bagi menilai kecekapan dan keberkesanannya.

Aspek lain ialah keahlian FOS yang diperluas untuk merangkumi broker insurans dan takaful serta penasihat kewangan, selain institusi berlesen yang sedia ada, katanya.

Bank pusat itu berkata ia juga mahu skop pertikaian dan award yang dikendalikan oleh FOS diperluas dan struktur fi lebih baik yang lebih mencerminkan penggunaan perkhidmatan FOS.

"Selaras dengan pengaturan semasa yang diterima pakai oleh Biro Pengantaraan Kewangan (FMB), penyedia perkhidmatan kewangan akan terus terikat dengan keputusan ombudsman sekiranya keputusan tersebut dipersetujui oleh pengadu.

"Bagaimanapun, pengadu boleh menolak keputusan ombudsman dan mengambil tindakan undang-undang sekiranya tidak berpuas hati dengan keputusan terhadap pertikaian itu," kata BNM.

Kertas konsep ini boleh dimuat turun dari laman sesawang bank di www.bnm.gov.my.

Tarikh akhir penghantaran maklum balas dan pandangan ialah pada 29 September  2014.

Semua maklum balas boleh dihantar ke alamat yang dinyatakan dalam kertas konsep ini atau melalui e-mel kepada communication

FOS, Bank Negara Malaysia

Artikel Lain