suria

Kerjasama Lebih Luas Penting Untuk Mengantarabangsakan Kewangan Islam

Kamarul Ariffin Mohd Jamil
KUALA LUMPUR: Kerjasama antara penggiat pasaran kewangan Islam perlu diperkukuhkan lagi dalam usaha menjamin pertumbuhan berterusan industri itu, terutama di arena antarabangsa, kata Ketua Pegawai Eksekutif Affin Islamic Bank Bhd, Kamarul Ariffin Mohd Jamil.


"Banyak usaha telah diambil oleh pengendali dan penggiat setakat ini dalam mengembangkan industri kewangan Islam dan dalam menyediakan persaingan dan tawaran mampan, sama ada untuk pasaran tradisional atau bukan tradisional.

"Bagaimanapun, kerjasama lebih meluas dalam kalangan berkepentingan akan memberikan manfaat diperlukan untuk merangsang lagi pertumbuhan.

"Jika anda yakin dalam mengantarabangsakan kewangan Islam, tidak ada cara lain melainkan melalui pemuafakatan," katanya dalam satu kenyataan kepada Bernama, Rabu.

Kamarul juga berkata, saiz industri kewangan Islam global dianggarkan mencecah US$1.8 trilion pada 2013.

Bagaimanapun, ia kekal satu pecahan kecil daripada industri kewangan global keseluruhannya dengan tumpuan terutama di pasaran majoriti Islam seperti Arab Saudi dan Malaysia, yang menerajui industri global daripada segi saiz aset.

Beliau juga berkata, hakikat bahawa minat untuk meneroka ke dalam industri kewangan Islam telah dilahirkan oleh negara-negara bukan Islam seperti Jerman, Luxembourg, Perancis, Australia, Korea Selatan dan Jepun.

Penubuhan prasarana pasaran dan kerangka penyeliaan di negara-negara berkenaan kini di pelbagai peringkat pembangunan, kata beliau.

"Anda perlukan prasarana sokongan dalam usaha untuk mengembangkan pasaran itu.

"Industri ini juga memerlukan lebih ramai profesional yang mahir dan terlatih dalam perbankan dan kewangan Islam," katanya.

Pada masa kini, sejumlah besar daripada mereka berada dalam pasaran tradisional seperti Malaysia dan negara-negara di Timur Tengah, manakala di pasaran bukan tradisional jumlahnya masih terlalu rendah, kata Kamarul.

Beliau berkata, perluasan global mungkin memerlukan bank-bank Islam untuk meluaskan keupayaan sedia ada atau menjalin kerjasama strategik, katanya.

Dialog antara penggiat industri adalah satu lagi komponen untuk membantu meluaskan kewangan Islam dan ini adalah matlamat utama Forum Kewangan Islam Global (GIFF) yang akan diadakan di Kuala Lumpur pada 2-4 September 2014.

GIFF 2014, dianjurkan oleh Persatuan Institusi Perbankan Islam Malaysia (AIBIM), yang dianggotai Affin Islamic Bank Bhd dengan Kamarul sebagai Timbalan Presiden.

"Kami akui ketika ini, tidak ada forum sebenar untuk pasaran dengan tahap pembangunan berbeza dan kami harap GIFF akan menjadi forumnya," kata Kamarul sambil menambah bahawa GIFF akan menyediakan satu platform untuk penggiat pasaran untuk bermuafakat dan membantu peserta baharu membangunkan kewangan Islam dalam pasaran mereka.

Forum itu yang akan dirasmikan oleh Gabenor Bank Negara, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz, bertemakan "Marketplace for Global Linkages".

Ia bertujuan berkongsi pengalaman dalam membangunkan kewangan Islam, termasuk pengalaman Malaysia dalam membina satu ekosistem menyeluruh untuk industri dan memacu transaksi rentas sempadan.


Artikel Lain