suria

Tadbir Urus Korporat Perlu Usaha Semua Pihak

KUALA LUMPUR: Tadbir urus korporat memerlukan usaha bersungguh semua pihak, bukan setakat badan kawal selia, tetapi juga auditor, lembaga pengarah dan pihak pengurusan, kata Pengerusi Kumpulan Pengawas Pemegang Saham Minoriti (MSWG) Tan Sri Dr Sulaiman Mahbob.

Beliau berkata semua usaha ini pula mesti dilandasi dengan integriti dan budaya korporat berasaskan etika.

"Dalam dunia perniagaan dinamik hari ini, semua pihak memainkan peranan penting dalam menjaga integriti sistem pelaporan kewangan, yang agak memeranjatkan, tidak diketengahkan.

"Rangka kerja, peraturan dan kod sudah ada, apa yang diperlukan sekarang ialah bagi lembaga pengarah dan peserta pasaran melaksanakan isi dan 'walk the talk' berhubung tadbir urus korporat, integriti dan ketelusan," katanya dalam ucaptama pada Simposium Kepimpinan Lembaga Korporat 2014, di sini, Isnin.

Sulaiman berkata usaha bersungguh-sungguh yang dilaksana semua pihak berkenaan termasuk akauntan, auditor, lembaga korporat dan pegawai utama dalam kumpulan pengurusan, akan membantu menanam keyakinan dalam rejim pelaporan kewangan korporat serta menjadi pencegah kepada penipuan serta amalan menyimpang.

Acara sehari anjuran Institut Akauntan Malaysia (MIA) itu turut disokong oleh Bursa Malaysia, BoardRoom Corporate Services, Persekutuan Syarikat Awam Tersenarai, MSWG dan PricewaterhouseCoopers.

Sulaiman berkata usaha yang diambil oleh MIA itu akan membantu dalam persediaan menghadapi cabaran dan jangkaan yang dikenakan terhadap korporat Malaysia.

Sementara itu, Presiden MIA Johan Idris berkata para pengarah dan pengurusan memainkan peranan penting dari segi kebertanggungjawaban dengan mewujudkan 'nada yang betul di atas'.

"Ini bermakna menunaikan tanggungjawab yang berbangkit daripada kepercayaan yang diberi oleh pemegang saham kepada mereka.

"Pengarah dan pengurusan mesti melaksanakan tadbir urus korporat dan amalan terbaik yang menggalakkan integriti, ketelusan dan kebertanggungjawaban," kata Johan.

Bagi pihak MIA dalam melindungi kepentingan awam, Johan berkata jika masyarakat mempunyai maklumat mengenai sebarang salah laku oleh anggota badan itu, mereka perlu tampil dan membuat aduan kepada MIA bagi membolehkan tindakan sewajarnya diambil.

Institusi itu merancang untuk menambah keanggotaannya sekali ganda daripada 30,000 sekarang kepada 60,000 menjelang 2020, dengan 25 peratus disasarkan daripada kaum bumiputera.


MSWG

Artikel Lain