suria

Bank Islam Peruntuk RM4.7 Juta Bina, Baik Pulih Rumah

JOHOR BAHARU: Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) telah membina dan membaik pulih 174 buah rumah di seluruh negara menerusi peruntukan RM4.7 juta dana zakat sejak tahun 2008 sehingga kini.

Pengurus Besar Hubungan Strategik BIMB Datuk Wan Ismail Wan Yusoh berkata daripada keseluruhan 174 rumah itu, 36 adalah di Kelantan yang melibatkan kos RM1.07 juta, Terengganu (37 rumah, RM1.1 juta), Kedah (31 rumah, RM771,500).

Pahang (23 rumah, RM568,000), Perak (18 rumah, RM410,000), Johor (22 rumah, RM527,000), Sarawak (enam rumah, RM216,000) dan Negeri Sembilan (sebuah rumah, RM36,200).

Bercakap kepada pemberita pada majlis penyerahan Rumah BIMB Negeri Johor, di sini, Isnin, beliau berkata daripada 22 di Johor itu, enam merupakan pembinaan rumah baharu manakala 16 lagi merupakan baik pulih rumah yang melibatkan kawasan di Batu Pahat, Muar, Segamat, Pontian, Kota Tinggi, Gelang Patah serta Mersing.

Katanya, kos pembinaan rumah baharu adalah sebanyak RM40,000 dengan menggunakan kaedah 'fast track wall' hasil kerjasama Universiti Teknologi Malaysia (UTM) manakala kos baik pulih pula sebanyak RM15,000 hingga RM20,000.

Menurut Wan Ismail, BIMB beriltizam untuk terus menyumbang kepada kebajikan masyarakat dan membantu dalam mengurangkan kadar kemiskinan di negara ini selaras dengan misi untuk menjadi sebuah badan korporat yang prihatin dan bertanggungjawab.

Pada majlis berkenaan BIMB turut menyerahkan bayaran zakat perniagaan sebanyak RM400,000 kepada MAIJ menerusi Pengerusi Jawatankuasa Agama Negeri Johor Abd Mutalib Abd Rahim dan disaksikan Penasihat Majlis Agama Islam Johor Datuk Noh Gadut. 


Bank Islam

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain