suria

TPM, UniKL Bekerjasama Bangunkan Sistem Pintar Bantu PKS

KUALA LUMPUR: Technology Park Malaysia Corporation Sdn Bhd (TPM) menjalin usaha sama dengan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) untuk membantu syarikat meningkatkan pengeluaran melalui sistem perkilangan pintar (IMS).

IMS, yang terdiri daripada mesin, dibangunkan untuk menjalankan kitaran proses pengeluaran untuk tempoh masa yang panjang dan hanya menggunakan tenaga manusia yang minimum.

Dibiayai geran usahawan tekno sebanyak RM3 juta Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, kerjasama itu akan membangunkan sistem dengan bantuan kepakaran dan nasihat serta teknologi, yang memberi pendedahan dan pembangunan kemahiran yang diperlukan.

Program pembangunan dua tahun itu akan membantu usahawan tekno di samping memberi tumpuan kepada PKS untuk meningkatkan pengeluaran dan menambah hasil.

Pengurus Besar Pusat Pengkomersilan Teknologi TPM Mohamad Zaihirain Mohamed Rasin berkata, IMS dilaksanakan oleh banyak syarikat di negara asing, dan turut digunakan di Malaysia sejak dua tahun lalu.

"IMS sudah ada sejak dua tahun lalu, tetapi ia tidak digunakan secara meluas. Dengan menjalankan projek pembangunan ini, satu kajian mendalam boleh dilakukan. Ia akan menguntungkan PKS.

"Dengan menggunakan sistem ini, kos pengeluaran akan dikurangkan, mutu akan ditingkatkan dan kawalan mutu boleh diperbaiki," katanya kepada Bernama.

Zaihirain juga berkata, melalui pembangunan sistem itu, TPM merancang untuk mewujudkan kepakaran IMS di Malaysia.


TPM, UniKL, sistem perkilangan pintar

Artikel Lain