suria

AIA Public Umum Lebihan RM8.5 Juta

KUALA LUMPUR: AIA Public Takaful Bhd (AIA Public) mengumumkan lebihan agihan sebanyak RM8.5 juta bagi tahun kewangan berakhir 30 Nov 2013, membabitkan lebih 36,000 sijil.

Agihan itu, lebihan pertama sejak penubuhannya tiga tahun lepas, akan memberi manfaat kepada pelanggan yang layak, yang melanggan produk Takaful yang ditawarkan oleh AIA AFG Takaful Bhd dan ING Public Takaful Ehsan Bhd, yang menyepadukan perniagaan pada Mac 2014 bagi membentuk AIA Public.

Ketua Pegawai Eksekutif AIA Public Wan Azman Wan Mamat berkata syarikat itu komited menawarkan penyelesaian Syariah yang tepat bagi memenuhi pelbagai peringkat keperluan pelanggan.
 
"Kami juga memberi tumpuan bagi memastikan semua tuntutan diurus dengan baik dan beretika. Hasilnya kami bangga berkongsi lebihan bersama para pelanggan kami tahun ini," katanya menerusi satu kenyataan.

Lebihan itu akan diagihkan kepada mereka yang mendaftar sebagai pelanggan AIA Public sehingga 30 Nov, 2013, tidak mempunyai caruman tertunggak dan tidak membuat sebarang tuntutan.

Jumlah lebihan yang dibayar juga berbeza, bergantung kepada saiz sumbangan, jumlah perlindungan dan tempoh sijil.

Takaful tidak sahaja memberi manfaat kepada pihak menuntut malah kepada pelanggan bukan menuntut, yang berpeluang menerima bahagian lebihan agihan itu menerusi dana risiko pada akhir tempoh, katanya.
AIA Public

Artikel Berikut

Artikel Lain