suria

Sentimen Industri Thailand Terus Kukuh

BANGKOK: Pengilang di Thailand semakin optimistik terhadap sektor perindustrian dengan sentimen positif terus meningkat untuk bulan ketiga berturut-turut.

Indeks Sentimen Perindustrian Thailand bagi Julai naik kepada 89.7 daripada 88.4 pada Jun.

Sentimen pengilang yang semakin meningkat itu berikutan peningkatan jumlah jualan, jumlah tempahan, pengeluaran dan prestasi perniagaan, kata Pengerusi Persekutuan Perindustrian Thai (FTI) Supant Mongkolsuthee.

"Indeks berkenaan telah meningkat sejak tentera mengambil alih kuasa pada 22 Mei tahun ini berikutan dasar politik semakin jelas di samping prestasi lebih baik kumpulan industri kecil dan sederhana," kata beliau pada sidang akhbar di sini, Rabu.

Supant berkata sektor swasta mahu kerajaan melaksanakan satu dasar ekonomi yang jelas untuk membina keyakinan dalam kalangan pelabur dan agensi kerajaan bagi mempercepatkan pengagihan belanjawan yang bertujuan merangsang dan memacu pertumbuhan.

Sektor swasta juga menggesa kerajaan agar menjalin kerjasama dengan negara jiran untuk memudahkan pengangkutan produk, bahan pengeluaran dan buruh untuk mempromosi dagangan di sempadan.

FTI menjalankan tinjauan terhadap 1,147 pengilang dalam 42 kumpulan industri di seluruh negara pada Julai.


Thailand

Artikel Lain