suria

Felda Optimis Jadi Hab Pengerluaran Gula Bertapis Di Asia Pasifik

BUTTERWORTH: Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad, yakin MSM Malaysia Holdings Bhd menjadi hab pengeluaran gula bertapis bagi rantau Asia Pasifik yang membolehkan Malaysia menjadi peneraju dalam industri ini.

Beliau berkata, pihak pengurusan juga amat proaktif dalam mencari inisiatif baru untuk memajukan lagi syarikat dan ruang perniagaan melalui penggabungan dan pengambilalihan syarikat berpotensi tinggi dalam aktiviti perniagaan gula dan hiliran berkaitan gula.

"Pemilikan syarikat baru yang strategik melalui proses bukan organik ini sangat penting untuk meletakkan MSM setanding dengan syarikat lain di peringkat antarabangsa," katanya dalam ucapannya di majlis perasmian surau dan majlis hari raya, di sini, Rabu.

Mohd Isa berkata, MSM yakin akan terus berkembang di peringkat global dengan sasaran untuk meningkatkan kapasiti pengeluaran gula bertapis kepada empat juta tan metrik menjelang 2020 daripada 1.25 juta tan metrik.

"Kita bukan sekadar mahu menjadi jaguh kampung, bahkan ingin menawan dunia dengan jenama dan produk gula MSM. Terbaru, syarikat mempunyai cadangan membina kilang penapisan gula di Johor.

"Kilang baharu ini, sekiranya berjaya direalisasikan, pasti akan membawa pelbagai manfaat dan kebaikan kepada syarikat khususnya serta pembangunan ekonomi negara amnya," katanya.

Pada Mei lepas, MSM, anak syarikat Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan syarikat dari Emiriyah Arab Bersatu (UAE), Al-Khaleej International Ltd (AKI) bagi membangunkan kilang gula serba canggih di Pelabuhan Tanjung Pelepas.

Kos pembangunan, termasuk sebuah kompleks logistik dan terminal kapal dianggarkan mencecah antara RM811.57 juta hingga RM876.42 juta dan ia dijangka siap menjelang 2016.

Mohd Isa berkata, MSM antara penyumbang utama kepada keuntungan FGV telah memperoleh hasil RM2.2 bilion dengan keuntungan bersih RM254 juta pada 2013.

"MSM juga telah menguasai 57 peratus daripada pasaran gula tempatan manakala pasaran eksport hampir 20 peratus daripada pengeluaran gula MSM," katanya.


Felda

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain