suria

ASB2 Catat RM1.07 Bilion Unit Daripada 53,345 Pemegang

IPOH: Sepuluh peratus daripada 10 bilion unit saiz dana Amanah Saham Bumiputera 2 (ASB2) yang diurus Permodalan Nasional Bhd (PNB), sudah dilanggan sehingga 15 Ogos lepas.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PNB Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman berkata RM1.07 bilion unit kini dilanggan oleh 53,345 pelabur, sejak pelancaran peringkat kebangsaan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 2 April lepas.

"Ini menggambarkan satu kesedaran baharu ...sebelum ini, untuk habiskan RM1 bilion memakan masa bertahun, namun sekarang ini dalam tempoh tiga bulan lebih sahaja kita telah melepasi RM1 bilion.

"Kita harap masyarakat mengambil kesempatan untuk melanggan ASB2 kerana besar kemungkinan tiada lagi produk harga tetap yang kita akan lancarkan pada masa depan," katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran ASB2 peringkat Negeri Perak di sini, Selasa.

Hamad Kama Piah berkata jumlah keseluruhan pelaburan terkumpul PNB setakat 31 Julai ini mencecah hampir 187.46 bilion, dengan seramai 12.02 juta pemegang unit.

Katanya menerusi kepakaran dan kemahiran pengurus-pengurus dana ASNB dan kecemerlangan syarikat-syarikat pelaburan, PNB berjaya mengagihkan dividen RM116.69 bilion sejak pelancaran unit sulung ASNB pada 1981 hingga hari ini.

Hamad Kama berkata di Perak, PNB menggembleng lebih 12.62 bilion unit atau mewakili lebih 10 peratus daripada jumlah keseluruhan dana pelaburan oleh ASB yang membabitkan 990,153 pemegang unit.

"Perak menduduki ranking keenam dari segi jumlah pelaburan dan pemegang unit mengikut negeri," katanya.

Sementara itu, beliau berkata PNB menggalakkan ibu bapa yang mempunyai anak berumur lebih enam bulan supaya menabung dalam ASB2, sekurang-kurangnya jumlah minimum RM10.

Beliau berkata PNB mengambil pendekatan mengadakan seminar 360 hari setahun kepada pelabur supaya mereka terdedah dengan konsep pelaburan, pulangan yang diperoleh serta kelebihan jangka masa panjang.

"PNB merupakan institusi pertama yang mengadakan seminar setiap hari. Kita mahu beri pendedahan kepada pelabur agar mereka lebih faham dan membuat keputusan bijak," katanya.


PNB, ASB2

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain