suria

Agrobank Lancar Produk Dan Perkhidmatan Terbaharu

NILAI: Agrobank pada Selasa melancarkan produk dan perkhidmatan terbaharunya, pembiayaan perdagangan iaitu kemudahan berasaskan syariah dengan pembiayaan modal kerja jangka pendek untuk perusahaan kecil dan sederhana, pelanggan komersil dan korporat melibatkan perdagangan tempatan dan luar negara.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Wan Mohd Fadzmi Wan Othman berkata dengan kemudahan terbaharu itu, Agrobank menjadi Institusi Pembangunan Kewangan (DFI) pertama di Malaysia yang mempunyai perkhidmatan pembiayaan perdagangan sendiri.

"Antara produk pembiayaan perdagangan yang ditawarkan ialah Letter of Credit-i, Murabahah Trust Receipt, Trade Working Capital Financing-i, Bank Guarantee-i, Shipping Guarantee-i dan Forward Exchange Contract.

"Kemudahan terbaharu ini membantu pelanggan menguruskan aliran tunai dengan lebih cekap supaya mereka lebih fokus dalam perniagaan," katanya.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob melancarkan produk tersebut sempena seminar 'Konsultasi Ekonomi dan Pengurusan Teknologi Pertanian 2014' di sini.

Ia merupakan anjuran bersama Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi), Agrobank dan Universiti Putra Malaysia.

Wan Mohd Fadzmi berkata perniagaan memerlukan modal kerja yang lebih besar untuk meningkatkan perniagaan tempatan dan luar negara termasuk urus niaga rentas sempadan.

Katanya produk dan perkhidmatan pembiayaan perdagangan ini boleh menjadi perkhidmatan yang sangat berguna sebagai sumber aliran tunai yang mudah.

Beliau berkata sehingga Jun 2014, Agrobank telah meluluskan pembiayaan lebih RM468.8 juta dengan RM224.52 juta kepada sektor pertanian.

"Pada tahun lepas, Agrobank menyumbang RM3.6 bilion (10.2 peratus) daripada keseluruhan RM31.7 bilion pembiayaan pertanian di Malaysia. Agrobank turut menyumbang RM2.4 bilion (31.7 peratus) kepada pembiayaan sektor makanan daripada jumlah keseluruhan RM5.2 bilion (68.3 peratus) pada tahun sama," katanya.

Katanya dengan kemudahan ini, Agrobank berhasrat untuk menjadi rakan kongsi perniagaan yang terulung dalam sektor industri asas tani.


Agrobank

Artikel Berikut

Artikel Lain